Wednesday, November 24, 2010

Kehidupan Terindah Adalah Ketika Remaja. Betul Ke? 5

sambungan.....

Saya tak ingat bila kami mula rehat dengan hanya makan pau goreng ikan bilis. Ala pau yang macam roti goreng tu, belah tengah, sapu sambal ikan bilis dan lapis dengan sepotong timun. Masa tu harganya 20 sen. Wahhh...cerita macam zaman Jepun je kan. Kami - saya, aida, suhaila dan aini - makan tu je kat tepi kantin. Kantin selalu penuh. Jarang dapat tempat duduk. Jadi, kami berempat makan pau goreng tu tepi kantin berdekatan dengan tarmac (tempat perhimpunan). Tak boleh makan merata. Mesti makan kat kantin. Kat taman pun tak boleh walaupun bawak bekal. Kalau saya tak lupa, masa ni saya cuma bawak 50 sen je ke sekolah. Yang 30 sen lagi saya tak pasti pulak saya buat apa. Yang pasti sejak kecil saya tak pernah ada tabung. Dah tua-tua ni pulak ada tabung.

Tiap kali sebelum waktu rehat, mesti salah seorang akan tanya; "eh, korang nak makan apa?" Bila sorang jawab; "makan pau goreng", otomatik semua nak makan pau goreng. Memang best la masa tu sebab persetujuan nak makan tu memang sebulat suara yang memang betul-betul bulat. Cepat dan mesra macam tagline PDRM. Tak macam sekarang, zaman kerja ni, bukan tanya nak makan apa. Tapi tanya nak makan kat mana sebab kat area pejabat saya tu jenis makanan memang banyak terutama kat Food Republic kat Pavilion tu, tapi kalau makan kat situ tiap-tiap hari, tauke balak pun jual ubi kayu nanti. Dah la mahal, tak sedap pulak tu. Yang sedap, kat tepi-tepi longkang. Jauh pun ye. Yang tepi longkang tu tak kisah lagi, bila masuk bab lalat menyerang tu. Aduhhh...rasa macam makan nasi berlatarbelakangkan muzik lalat merempit je.

Kalau beratur nak masuk kelas, tak kira la kelas belum bermula ke atau beratur nak masuk kelas selepas rehat, memang saya tak merasa la nak beratur depan sekali atau kat depan-depan tu. Memanjang je belakang. Pernah undang-undang dibuat supaya monitor mesti beratur depan sekali. Masa tu undang-undang tu dibuat oleh Pengetua baru. Mungkin dia nak kenal monitor setiap tingkatan kot. Selang beberapa lama, saya mula mengelat. Saya diam-diam berdiri kat belakang semula. Lama-lama dah tak ada undang-undang tu. Malulah saya nak berdiri kat depan tu. Entah apa-apa entah suruh monitor beratur depan sekali pulak. Apa tak suruh monitor je bagi ucapan masa perhimpunan. Wah....angin.

Salah satu tugas saya sebagai monitor bila waktu nak balik, kena pastikan dengan cikgu yang mengajar subjek berkaitan sama ada kami ada masa ke-9 atau tidak. Ala...budak-budak ni. Dah tau masa ke-9 tu memang ada dalam jadual, nak suruh saya tanya cikgu ada ke tak masa ke-9 tu. Diorang tu bukan apa, berdoa supaya cikgu batalkan masa ke-9 tu supaya dapat balik. Maunya tidak. Orang lain masa diorang sampai masa ke-8 je. Bunyi loceng je terus boleh balik. Budak kelas sains je ada masa ke-9 untuk subjek sains tulen - biologi, fizik dan kimia. Kami ni, bila bunyi loceng tu, kemas beg jugak, tapi bukan untuk balik tapi untuk pindah ke makmal mengikut subjek masa ke-9 tu. Dulu masa ke-9 saya hanya subjek fizik dan kimia je. Subjek biologi tak ada masa ke-9 sebab subjek ni dah ambik masa lebih dalam jadual.

Sebelum masa ke-8 bermula saya dah berlari ke bilik guru bertanyakan cikgu sama ada kelas dia ada atau tak. Sambil tu saya perlu hantar kedatangan kepada guru tingkatan saya, Puan Tan. Gila lambat bagi kedatangan. Orang bagi kedatangan pagi-pagi. Mula-mula saya jadi monitor, bila saya hantar kedatangan pagi, Puan Tan dah masuk mengajar kelas lain. Tak dapat jumpa dengan dia. Saya terpaksa berulang-alik ke bilik guru cari dia. Lama-lama saya dah hafal jadual dia. Saya dah boleh tahu bila dia ada kat bilik, bila tak ada. Senang sikit saya nak hantar kedatangan. Dia pulak duduk dekat tingkap paling hujung. Jadi, saya tak perlu masuk bilik guru. Saya jumpa dia kat tingkap je. Dulu nak masuk bilik guru pun takut. Kalau saya, bukan takut tapi segan. Kalau ada murid yang masuk bilik guru, silap-silap kena marah atau kena jeling. Sombong betul guru dulu-dulu. Tapi sekarang ni, memang ramai kot murid-murid yang masuk bilik guru sebab masalah disiplin. Sekarang ni guru yang takut dengan anak murid agaknya. Kan best kalau saya jadi anak murid zaman sekarang hahahaha!!! Ada hati nak sombong dengan guru tu...LOL.

bersambung.....

4 comments:

Lan Bingka said...

oo..pau goreng rupanya. saya panggil kuih burger je..haha

eL said...

Lan: Hahahaha...Lan, saya pun nak sebut kuih burger sebenarnya sebab sekarang ni memang orang panggil kuih tu kuih burger. Tapi masa zaman saya dulu kami panggil pau goreng atau pau sambal atau pau ikan bilis.

nohas said...

Pernah juga jadi kelas monitor..tak best langsung..

Pau goreng memang sedap..nyam..nyam..

eL said...

Nohas: Memang tak best langsung. Bukan senang nak jaga manusia. Lebih-lebih lagi masa tu dalam kelas saya ada seorang budak ni asyik mengamuk je sebab ada masalah keluarga. Perlukan perhatian.