Friday, December 30, 2011

Terapi

Gigih buat malam tadi. Awal-awal lagi saya dah pesan kat Amanda supaya bagi kat saya botol ni kalau gula-gula kat dalamnya dah habis. Siang semalam berusaha dia kosongkan botol tu.

Terapi untuk orang yang ada minat. Saya belajar buat dan dapat inspirasi daripada beberapa blog dan laman web. Boleh rasa tak lapar bila buat benda-benda ni.

posted from Bloggeroid

Hero, Heroin dan Pelakon Tambahan

Tak cukup dengan satu cupcake, 2 hari lepas saya buat lagi. Kali ni bukan untuk jarum-jarum saya tapi untuk CPU saya. Biar dia ada kawan hiksss menggedik

Paksa acar buah pulak keluar dari botol supaya cepat-cepat boleh cuci dan transform bersalin kulit jadi bekas alat tulis kedua. Diorang ni botol kecik je. Kalau satu memang tak muat nak letak segala pen, pembaris, gunting, highlighter, liquid paper dan marker.

Ni la kawan kita yang saya dapat kat Daiso Japan tu. Bukan nak letak gambar sendiri. Dah letak signature themes of my StrengthsFinder.

In action. Satu jadi hero, satu jadi heroin, satu lagi jadi pelakon tambahan.


posted from Bloggeroid

Tidurlah Wahai Permaisuri

Dah la setiap kali kau masuk surau kau terus tidur, lepas tu tangan kau pergi gatal tutup aircond tu kenapa. Kau sejuk? Habis orang lain kau ingat tak panas? Pentingkan diri kau sendiri je. Aku tak pasang lampu masa kau tidur tu pun dah cukup baik.

Dah lama saya perhatikan dia ni. Tiap kali masuk surau nak tidur tu saya tak kisah sangat, tapi masuk-masuk je terus dia tutup aircond. Dah la surau tu bertutup semua terpengap. Mestilah panas. Yang dia tutup aircond tu kenapa. Macamlah dia sorang je dalam surau tu. Saya ingatkan dia baring-baring je sementara tunggu masuk waktu solat. Rupanya, lepas dah ramai orang masuk untuk solat zohor, dia pun blah.

Semalam lagi best, dia dah tidur kat tepi dinding tu, bila dah ramai orang masuk dia bangunlah. Saya ingat dia nak blah, dia boleh tukar posisi tidur sebelah belakang pulak. Rasa nak @#!%^*)%$#$@ je. Hari tu, dia tidur betul-betul depan cermin besar tempat orang selalu berdiri nak pakai tudung. Dah dia tidur kat situ, macam mana orang nak pakai tudung kat situ???? Memang sakit hati tengok. Dah la hari ni hari jumaat, habis pahala hari ni.

Yang saya bertambah bengang, bukan staf building ni pun. Buat ikut kepala dia je!!

posted from Bloggeroid

Thursday, December 29, 2011

Daiso Japan

Kak Aida ajak saya teman dia nak cari barang untuk ulangtahun perkahwinan mak ayah dia kat Parkson. Saya ingat Parkson Pavilion sebab tu yang paling dekat dengan ofis kami. Rupanya Parkson Sg Wang. Saya memang gagal bab Sg Wang ni. Kalau sorang-sorang memang saya tak pergi. Mesti sesat punyalah. Jalan punya jalan nak cari Parkson sebab Kak Aida pun kurang mahir dalam Sg Wang tu, punya la perak sampai melilau mencari...nama je duduk KL tiba-tiba langkah terhenti depan kedai ni. Puncanya saya ternampak dia gantung-gantung reben kat dalam kedai tu. Hati melonjak nak masuk. Ingatkan Kak Aida tak nak masuk. Rupanya dia nak masuk jugak. Siap cakap, "Ok, I nak lama sikit kat sini". Wooohhh...melompat-lompat hati saya. Best ni dapat berlama-lama kat sini sampai saya lupa nak tengok apa nama kedainya.


Boleh bangkrap makcik kalau lagi lama kat sini.

Saya teringin nak jadi pandai buat kotak ni

Memang hajat hati nak cari frame gambar.


Kalau zaman sekolah menengah, memang suka bebenor dengan kertas bunga-bunga ni.

Ni je makcik beli. Nak buat assignment.


Dah balik baru sempat tengok resit nak tau nama kedai. Ohhh.... ada 3 je cawangan kat Malaysia ni. One Utama gile jauh - for me la. Seremban pulak tak mungkin saya pergilah. Lagi rela pergi Sg Wang walau sesat nak cari jalan keluar.



posted from Bloggeroid

Wednesday, December 28, 2011

Paperclips' Homes

Crafter at work. Kotak coklat kena paksa bersalin kulit. Kotak coklat ni dah lama sangat saya simpan. Cheryl bagi souvenir dari negara mana entah...dah lupa. Gigih buat semalam. Mula jam 11 pm. Siap jam 12.30 pm. Kalau qiamullail bukan main liat. Tak larat dah nak post. Letak je kepala terus tidur. Dari siang semalam dalam kepala ni ligat fikir macam mana nak design. Nak letak paper clip kat ofis je pun. Sakan.



Mula-mula nak buat satu je untuk diri sendiri. Bila cari huruf S kat penyepit huruf tu, tak ada pulak. Huruf I ada. Tak jadi nak guna. Ternampak huruf A ada dua. Terfikir jugak, kenapa huruf A tu je yang ada dua. Agaknya Kak Aida tukar dengan set yang lain kot sebab penyepit tu dia yang bagi saya, dah lama jugak. Dia suruh buat sesuatu ke dengan benda ni? Nampak macam huruf A tu perfect je untuk nama dia hehehe. So, saya pun buatlah lagi satu guna penutup kotak coklat tu pulak.

Makanyaaaaa, tadaaaaaaaaaa.....

Somehow saya rasa dia punya lebih menarik dari saya punya :-) Perasan la ni...




posted from Bloggeroid

Monday, December 26, 2011

Ingat Dia Di Mana-mana

Saya pernah mengalami hypertension beberapa tahun lalu kerana unsur kemanusiaan dan menghadapi cabaran baru. Alhamdulillah, dengan bantuan Allah saya berjaya mengawalnya dengan mengadu padaNya lebih kerap daripada selalu atas saranan Pak Teh saya. Dengan perantaraan doktor pakar, Allah telah kembalikan kemudahan bekerja berkat kesabaran yang Allah pinjamkan untuk saya. Umrah lepas adalah reward untuk diri sendiri dan sebagai tanda syukur kerana Allah telah permudahkan pekerjaan saya.

Pernah saya dengar Kak Tie kata "dia takde suami nak mengadu kalau tension kat ofis" ketika Kak Hajar lari balik rumah sebelum tamat waktu bekerja kerana bebanan kerja yang banyak dan tidak mampu mengawal emosi. Mungkin juga. Tiada siapa tempat mengadu bila balik rumah. Keluarga kan ada. Mungkin kalau cerita kat mak dia pun mak dia tak faham kot. Yang selalu kita lupa, Allah itu yang sentiasa ada.

Ketika saya mengalaminya, saya tiada sesiapa di rumah untuk dikongsi cerita. Mengadu dengan Allah, tapi mungkin aduan yang saya lakukan tak cukup sungguh-sungguh dan sempurna masa tu. Tiada suami. Tinggal sendirian, bukan dengan keluarga. Kalau ada suami pun, belum tentu selesai masalah. Cerita pada mak tidak nampak cahaya di hujung jalan. Cerita pada Pak Teh pun tak selesai masalah tapi dia memberi idea penyelesaian. Bermulalah misi sungguh-sungguh saya.

Hari ini saya dengar cerita daripada Pak Teh yang sepupu saya terpaksa bercuti tanpa gaji selama 6 bulan sehingga perlu berjumpa psikiatris kerana hypertension. Kronik bunyinya kan. Kalau cerita dengan orang yang pernah alami seperti saya, hanya ada satu jalan penyelesaian walau kat mana kita bekerja, nature kerja kita dan dengan siapa kita bekerja - kembali pada Allah. Allah yang akan balas dengan sesuatu yang kita tak sangka. Tapi jangan sekali-kali doakan perkara yang tak baik untuk orang yang menyebabkan kita depress. Kalau kita memang solat orangnya, ketika depress gandakan lagi solat kita. Itulah masa terbaik untuk perbaiki solat kita. Jangan pulak kita rasa setakat solat 5 waktu dah cukup. Allah nak kita dekat semula dengan Dia. Dia tahu kita semakin jauh. Dia tarik perlahan-lahan dengan ujian yang berat. Kalau tak diuji berat macam tu entah-entah kita semakin lagha. Nampak tak, Allah sayang kita? Allah taknak tengok kita terus-terusan menjauhi syurga tanpa kita sedari.

Rupanya hipotesis Kak Tie kat atas tu macam tak boleh pakai je. Sepupu saya ni sudah bersuami namun belum mampu membantu isterinya yang mengalami hypertension. Belum dikurniakan zuriat hampir 7 tahun. Ini hikmahnya rupanya kenapa Allah belum mahu kurniakan anak padanya. Kalau ada anak, macam manalah agaknya dia mahu menjaga anak sedangkan dia sendiri mengalami kemurungan.

Peringatan untuk diri saya yang selalu lupa, kembalilah kepada Allah walau apa saja yang kita hadapi sama ada besar atau kecil. Ingat Allah bila berhadapan dengan semua perkara. Lupakan semua perkara bila berhadapan dengan Allah.

posted from Bloggeroid

Kembali

Buka je tingkap subuh tadi, angin menderu masuk. Terdengar berdentam-dentum tingkap & pintu rumah jiran. Ingatan saya terus menerpa ke Tanah Haram. Terasa-rasa angin hangat menyapa muka sebab ketika tu musim panas.

Seakan mesin masa, di atas sejadah, tiba-tiba saya teringat mimpi malam tadi setelah usai solat subuh. Tak mungkin saya ingat jam berapa mimpi tu. Saya berada di Tanah Haram, setelah berdoa sejak Mei lalu, untuk kembali semula ke sana.

Suasana agak berbeza kalau nak dibandingkan dengan keadaan ketika kedatangan saya Mei lalu. Masjid tak ramai orang. Azan pertama yang saya dengar adalah azan zohor. Kali ni saya tidak ditemani sesiapa. Saya sendirian. Mimpi itu hilang begitu saja seiring dengan tamatnya azan zohor di Masjidil Haram.

Mengalir airmata di atas sejadah. Betapa saya ingin kembali tak pernah padam. Mei lalu, selepas saya kembali ke Malaysia, sebulan saya bermimpi Masjidil Haram. Saya selalu terasa dekat dengan Haram. Saya berharap mimpi itu berterusan supaya rindu berkurang tapi ia hampir mustahil. Takkan sama antara mimpi dan berada benar-benar di hadapan kaabah. Rindunya juga tak sama. Mudah-mudahan Allah perkenankan doa yang satu ini. Amin.

Posting TA Mei 2011 belum tamat. InsyaAllah, saya akan tamatkan sebelum saya ke sana semula.

Orang kata, jangan cerita pada yang belum pernah pergi kerana perasaannya tak sama.

Saya kata, dulu saya bermula dari tak pernah pergi juga.

posted from Bloggeroid

Sunday, December 25, 2011

Felt Cupcake Pin Cushion


Recycle bekas puding.




Sekarang jarum-jarum standby saya ada rumahnya sendiri.

posted from Bloggeroid

Saturday, December 24, 2011

Bersalin Kulit


Botol acar ikan kurau dah bersalin kulit jadi bekas serbaguna.


Dia bukan setakat bersalin kulit, tapi dia akan berpindah rumah selasa ni dari Taman Melati ke sebelah Pavilion.

posted from Bloggeroid

Alligator Clips Lagi - Ladybugs


Ini lebih remeh dibuat kalau nak dibandingkan dengan buat guna reben. Nampak senang tapi melibatkan banyak steps yang menguji kesabaran dan ketelitian tahap mikro.

1. Cari outline kat internet atau beli template yang dah siap. Online ada jual di blogshop ni: tamujajakraf.blogspot.com
2. Tekap outline dari kertas A4 ke atas kad tebal untuk jadikan template lebih keras dan mudah untuk buat outline atas kain felt. Buat satu template badan, satu template sayap.
3. Gunakan kad tadi dan letak atas kain felt dan potong mengikut template untuk badan ladybug
4. Potong pula kain felt guna template sayap untuk sayap ladybug.
5. Lapiskan kedua-dua kain felt badan dan sayap.
6. Jahit sekeliling ladybug.
7. Gamkan wiggle eyes sebagai mata ladybug.
8. Potong kain felt bentuk bulat kecik-kecik sebagai bintik-bintik badan ladybug dan gam atas sayapnya.
9. Gamkan alligator clip, yang dah dibalut dengan reben, dibelakang ladybug.
10. Siap. Dah boleh pakai oleh budak-budak perempuan, bukan untuk mak budak...buruk. Tidak dibenarkan dipakai oleh budak lelaki.

Ini step by step yang tak berapa detail.

Ajak, ini bukan buah manggis.

posted from Bloggeroid

Friday, December 23, 2011

Thursday, December 22, 2011

Sandwich

Hari ni saya nak membebel pasal sandwich. Bukan roti tu. Solat sandwich. Si Reta baru pertama kali dengar term ni.

Solat akhir waktu zohor, awal waktu asar. Solat yang dikapit dua, jadilah macam sandwich. Masa nak dekat-dekat asar ni sepenuh penuhnya dengan umah manusia kat surau muslimah kat pejabat saya. Sampai takde tempat nak letak sejadah dah. Mana yang menyembang, mana yang baring tidur. Yang menyembang bukan main tak sedar lagi suara macam halilintar. Yang baring tidur, siap berdengkur lagi.

Solat awal waktu asar tu baguslah. Yang akhir waktu zohor tu? Padahal depa tu selalunya sangat dapat email pasal solat akhir waktu ni. Siap depa la tukang forward email kat kita. Tapi depa pulak yang menyumbang kepada statistik orang yang solat di waktu haram. Alasannya sebab senang, pergi surau sekali je.

Tak tau ke kalau kita ke surau banyak kali tu Allah bantu permudahkan kerja kita. Yang buat tu bukannya budak remaja. Mak budak remaja yang buat yang mana depa sepatutnya tunjukkan contoh yang baik kat anak-anak depa.

Depa jawab, daripada tak solat langsung.

Yo laaaahhhh......

posted from Bloggeroid

Baru


Semalam The Star teks saya yang RM20 will make a come back.


Cantik pulak warnanya

posted from Bloggeroid

Alligator Clips For Kids


Nak menangis rasa kalau buat tak jadi.



Tapi kalau jadi tu cantik pulak.

Haaa....puji la diri sendiri.

posted from Bloggeroid

Wednesday, December 21, 2011

Fridge Magnet


posted from Bloggeroid

Keretapi Peluru

Apa yang saya nak tulis ni, saya dah tak peduli dah apa orang nak cakap pasal saya.


Dah lama saya perhatikan kat surau pejabat saya terutamanya. Surau muslimah la ye. Surau muslimin saya tak tahu. Kalau solat tu, serius macam keretapi peluru. Apa agaknya yang diorang baca dalam solat ye. Hanya Al-Fatihah dan tahiyyat je ke? Doa-doa lain tu macam mana? Pernah seorang muslimah ni sujud dan saya ikut baca doa masa sujud tu. Masa tu saya dah habis solat tentunya. Saya baca selaju mungkin. Kalau boleh baca 3 kali kan. Belum sempat saya baca habis doa tu, dia dah bangun. Bukan saya baca 3 kali. Saya baca sekali je. Itu pun belum sempat habis dia dah bangun. Dia baca ke tak doa tu? Saya tahu ianya sunat tapi sempurnakah solat kita. Saya pulak yang terasa solat saya yang cacat. Dah la solat kita diberi markah dalam bentuk pecahan. Kalau solat macam tu, alaaaahaiii...berapa agaknya pecahan yang tinggal. Saya sangat concern tentang ni.


Bila dah solat macam tu, siapnya tak sampai 5 minit. Bukankah solat yang sempurna di mata kita tu sekurang-kurangnya memakan masa 15 minit? Di mata Tuhan apatah lagi. Lepas solat, kenalah mekap balik muka. Mekap tu lagi lama dari solat tadi. Beriya-iya berbedak, berlipstik. Selagi tak pecah cermin tu, selagi tu dia kuasai cermin tu. Macam dia sorang nak bercermin. Yang pakai tudung awning tu pun satu. Bukan ke tujuan tudung tu untuk senang dipakai. Main sauk je tak payah tengok cermin. Kenapa la pulak yang pakai tudung sauk ni dia pulak yang lebih-lebih depan cermin. Diorang ni berlama-lama kat surau, bos diorang tak cari ke? Saya yang ke surau setengah jam ni pun risau bos cari.


Kita meletakkan dunia di dalam tapak tangan kita padahal akhirat tu nisbahnya adalah 2:1 di dalam doa kita.

Tuesday, December 20, 2011

Give Back My Old Interface

Nak menangis saya rasa. Tak puas hati betul. Nak buat kerja pun tak senang hati. Dah la kerja banyak. Orang lain semua cuti, kita berhempas pulas kat sini. Macam ayat dengki je kan hehehe. Tapi kerja masa orang lain semua cuti, best jugak hehehe.

Ni la...pasal Blogger ni. Dah la lebih sebulan saya tak update blog ni, bila dah login untuk update tiba-tiba tangan ni gatal pulak nak edit sana sini. Ternampak la "try the updated Blogger interface". Cuba la klik. Ingatkan kena save ke apa baru dia tukar. Rupanya bila klik terus tukar. Teruslah makcik dapat message "your browser no longer support by Blogger". Bengong makcik kejap. Terfikir-fikir saya, apa yang saya tekan tadi. Saya teringat yang saya nak tengok-tengok dulu interface baru tu, kalau best baru nak tukar. Aaaaaaaaa.....terus tak boleh masuk. Baca tanpa login boleh. Tu nak buat apa. Yang penting sekarang nak login, nak create post segala.

Sudahhh...macam mana ni. Makcik terus la tanya pakcik Google. Browse punya browse terjumpa la orang yang mengalami pengalaman yang sama. Baru la tahu macam mana nak troubleshoot. Terus makcik login guna handphone. Nasib baik handphone yang Ajak ada orang kata cikai tu boleh tolong makcik going back to the old interface. Baru la boleh buat entry entah apa-apa ni. Orang yang ajar troubleshoot tu kata sooner or later Blogger akan phase out jugak old interface ni. Ada makcik kisah????

Sebelum tahu macam mana nak troubleshoot tadi, rasa macam ##$^&*&(*)(_%^%$##!%^^* je.


Monday, December 19, 2011

Banyak Dulu, Banyak Lagi Sekarang

Bila lama tak menulis, semua orang kata "banyaknyalah benda nak tulis. Tapi disebabkan sibuk, tak juga tulis-tulis". Orang kata apa perkataan tu? Klise? Haaa...yg tu lah saya nak cakap LOL


Saya perempuan comel. Ada ke blog bunga-bunga ni lelaki yang punya kan. Saya nak cakap pasal perempuan jugalah. Apa yang diorang buat tu tak menjadi kudis pada saya sebab saya pun termasuk dalam statistik diorang ni hehehehe.


Beg. Memang tak boleh dipisahkan dengan perempuan terutama kalau pergi kerja. Dari yang sekecil-kecilnya sampailah yang sebesar-besarnya. Lepas tu kat tangan dia ada lagi satu beg jinjing. Saiznya juga dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Kalau beg tangan tu kecil, dibawa beg jinjing tu tu tak apa la juga. Ini dah la beg tangan tu besar, bawa juga beg jinjing tu lagi. Apa la agaknya isi dalam beg diorang ni ye.

Tanya saya! Tanya saya! Hehehe.

Dulu.


Semua ada dalam beg. Mak ayah je tak letak dalam beg tangan. Daripada telekung sampailah ke botol air. Berus gigi, ubat gigi, inner spare, novel, wallet, telefon bimbit, kunci rumah, semua ada. Malah barang-barang yang berkaitan dengan Alya pun ada. Contoh, tisu basah dan sikat kecil. Bila bawa dia jalan-jalan hari minggu, kalau makan tak comot tak sah. Kena la sentiasa bawa tisu basah. Masa dia kecil dia tak pakai tudung, kena selalu bawa sikat. Saya memang sentiasa bawa sebab saya takut lupa bila saya bawa dia berjalan. Dah siap-siap dalam beg, bila nak keluar, sauk je.


Bawa telekung tu tak payah cerita la kenapa. Barang-barang lain tu kegunaannya bila ada kawan-kawan ajak tidur kat rumah diorang. Takkanlah tiap kali tidur rumah kawan-kawan kena beli berus gigi baru, ubat gigi baru dan inner baru. Nampaknya saya kena buka kedai runcit pulak lepas tu. Bawa botol air tu kalau-kalau berjalan ke sana ke mari tu haus la kononnya. Dulu saya memang tak minum air manis, air gas dan air yang dijual kat luar. Sekarang ni, tak peduli dah. Tu pasal la badan ni rasa dah 60 tahun je. Itu barang-barang yang saya ingat. Yang saya lupa banyak. Barang yang remeh-temeh ni. Yang kecil-kecil. Semua sumbat dalam beg tangan. Beg memang tak suka beli yang kecil. Yang besar je semua. Tapi tak la macam beg balik kampung tu. Melampau la tu. Nak cari barang-barang dalam beg tu tak susah sebab saya memang organise orangnya kemas tiap-tiap hari sebelum pergi kerja. Barang mekap memang tak ada. Ni je bezanya beg saya dengan beg perempuan lain.


Pernah saya pakai beg kecil. MasyaAllah...dia punya kembung la. Semua nak sumbat. Masa tu pandai pulak letak barang sikit je.


Sekarang.


Banyak benda yang saya bawa dulu saya dah keluarkan dari senarai. Masih tak suka beg kecil-kecil. Saya tak pandai nak kawal. Kejap-kejap jatuh sebab ringan sangat. Yang saya sebut tu semua dah tak ada. Yang ada dari dulu dan masih ada sampai sekarang, payung, wallet (ada 2 ok, satu tu terpaksa pakai, nanti SY kecil hati pulak, sebab dia yang bagi sempena birthday saya), kamera, buku nota kecil, buku untuk bahan bacaan masa terluang, ubat, pen, berus and ubat gigi, kunci rumah, access card, tisu basah. Tisu basah ni untuk keguaan sendiri pulak. Bukan untuk Alya lagi. Itu belum ada kunci kereta lagi. Telekung saya cuma bawa bila saya rasa saya akan ke rumah sesiapa dan balik lambat. Barang-barang Alya pun dah tak bawa sebab dia dah besar. Recycle bag memang kena sentiasa ada in case nak guna. Ni la beg yang dijinjit tu. Entah apa yang diisi tak tau la.


Eh macam lebih banyak dari dulu je kekekeke.




p/s: laaahhh...apsal cerita pasal beg saya pulak ni? daripada mengata pasal beg orang...

Monday, November 14, 2011

Salahkan Dia Tu.....

Ohhhhhh tidakkkkkkkkk.....nak surrender rasanya tulis kat sini tapi hati meronta-ronta nak menulis. Dah memang minatnya menulis, selama mana ditinggalkan pun mesti rasa nak menulis tu ada.

Salahkan kerja saya ni. Kerana dialah saya abaikan wadah ini. Kerana dialah saya sakit sampai berminggu-minggu. Kerana dialah dah sebulan lebih saya tak keluar lunch. Kerana dialah saya rasa saya dah tak ada kawan-kawan. Kerana dialah saya seolah-olah berasa di dalam dunia saya sendiri. Kerana dialah saya pecah rekod balik rumah jam 6 pagi.

Semuanya kerana kerja. Yang hairannya kenapa semakin tua semakin kuat saya kena kerja? Bukan ke semakin tua, kerja dah semakin senang? Main arah je kat anak buah. Bulan-bulan dapat gaji juta-juta.......

........rupiah

Siapa cakap el? Semakin tua la jawatan CEO tu baru layak untuk kita. Kerja CEO tu mudah ke? Senang ke? Semakin senior la jawatan Perdana Menteri tu layak untuk kita dengan pengalaman kerja yang di bawa bersama. Hmmmm...masuk akal kan.

Errr...saya bukan jadi CEO pun tapi kenapa saya kena balik pukul 6 pagi???? Arrrggghhhhhhh.....

Saya percaya ini semua ada sebab dan hikmahnya. Saya redha. Semoga Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuk saya, insyaAllah. Amin.

p/s: nampaknya sampai raya haji tahun depanlah posting "TA Mei 2011" saya akan tamat LOL.

Tuesday, September 27, 2011

TA Mei 2011 - 10

Eh eh eh...suka suki je nak cerita ye. Macam la biasalah ye, bila teringat saya terpaksalah gostan cerita saya ni. Orang haji dah nak naik flight pertama dah, cerita umrah ni nampaknya masih panjang LOL. Macam saya cakap hari tu lah, hingga saya sampai ke sana semula baru cerita ni nak habis kot.

Sebelum berangkat ke Makkah selepas zohor tu, kami semua mandi sunat ihram di hotel dan keluar hotel di dalam pakaian ihram. Sebelum berihram, wangi-wangikanlah badan tu ye sebab setelah berniat ihram kita dilarang menggunakan sebarang pewangi dan mematuhi segala larangan berihram. Saya cukup takut terlanggar pantang larang ni kalau dalam ihram. Contohnya rambut gugur tapi ustaz cakap jangan fikir sangat.

Setelah semua jemaah berkumpul, kami mula menaiki bas untuk di bawa ke miqat pertama iaitu Bir Ali. Dalam perjalanan ke Bir Ali, kami dibawa berziarah melihat-lihat tempat menarik di sepanjang perjalanan ke Makkah. Contohnya masjid-masjid, errr..saya dah lupa sebenarnya tempat-tempat yang kami ziarah. Semua tempat ni kami tak turun dari bas. Ustaz cuma cakap nama tempat tu dan cerita tentang sejarah tempat tu.

Saya kurang snap gambar dalam perjalanan ke Makkah ni sebab saya kena jaga tertib. Lagipun saya teruja sangat tapi saya tak tunjuk dan saya speechless sebenarnya. Tak menyangka yang saya akhirnya akan sampai ke sana. Kami tiba di Bir Ali ketika matahari tegak di atas kepala. Kami diarahkan untuk melakukan solat sunat ihram. Setelah semua jemaah menyelesaikan solat sunat ihram dan menaiki bas, kami semua dibimbing oleh Ustaz Bashar untuk berniat ihram umrah.

Inilah dia Masjid Bir Ali, miqat terdekat dari Masjid Nabawi. Satu ni je saya sempat snap.

Sekali lagi kami dibawa berziarah ke tempat-tempat yang kami lalu. Bila dah habis cerita sejarah, Ustaz Bashar ni kadang-kadang bawak cerita sedih. Meleleh airmata makcik. Dah la mak takde, abah takde. Cissss.

Haaaaa....sampai kat perenggan ni barulah masuk cerita yang dalam posting kat bawah tu ha kekekeke. Maaflah ye. Medula oblongata dah obsolete hehehe.

******************************************

Jangan ketuk kepala makcik ye hehehe. Kat bawah ni semua adalah gambar ketika hari kedua di Madinah. Hari yang kami semua dibawa ke ladang kurma tu. Makcik lupa cerita pasal Jabal Uhud.


 Ini bahagian tengah Jabal Uhud

Ketiga-tiga gambar kat atas ni sebenarnya kalau dicantumkan adalah gambar Jabal Uhud. Kamera saya tak cukup canggih untuk dapat fokus yang luas. Dengan kebijaksaan makcik, maka ini je lah yang makcik dapat snap LOL.

Ini makam syuhada Uhud. Seramai 70 orang syudaha yang syahid di dalam Perang Uhud dikebumikan di sini.

Makam syuhada Uhud dari jauh.

Makam syuhada Uhud dari dekat.

Puncak Jabal Uhud. Saya tak naik. Nampak macam dekat je dengan saya kan? Kenapa saya tak naik kalau dah dekat. Rugi je tak naik kan? Sebenarnya jauh. Saya fokus kamera saya je supaya nampak dekat. Saya tak naik sebab kami semua dah lambat. Kalau berlama-lama kat sini, lagi lambat sampai ke Masjid Nabawi nak solat zohor. Masa saya nak naik bas semula, Ustaz Bashar dah mula pergi jemput jemaah yang leka kat situ untuk naik bas semula. 



Kat sini pun ada jual macam-macam benda termasuk kurma. Perlu diingatkan, nak beli kurma, belilah di ladang kurma atau di pasar kurma. Kenapa? Kak Zah beli kurma kat sini. Masa beli lembut. Sampai kat hotel jadi keras macam batu. Sebab apa dia lembut masa beli? Sebab kena panas.

Bersambung.....

Friday, September 9, 2011

TA Mei 2011 - 9

Ehem ehem...selamat hari raya aidilfitri. Belum lambat lagi kan. Mohon maaf kalau ada salah silap sama ada saya sedar atau pun tidak ye. Halalkan semua yang pernah diberikan pada saya. Taqabbalallahu minna waminkum.

Saya sambung posting TA saya ni ye.

Hari ketiga di Madinah tiada apa-apa ziarah luar atau dalam diaturkan untuk kami. Ini adalah hari terakhir kami di Madinah. Kami diwajibkan untuk melakukan ziarah wada’ sebelum berangkat ke Makkah. Ziarah wada’ adalah ziarah selamat tinggal untuk Rasulullah. Saya sempat ke Raudhah semasa melakukan ziarah wada’. Jangan tanya berapa banyak baldi air mata ye. Kalau Puteri Gunung Ledang memang betul wujud, senang-senang boleh bagi dia air mata anak dara 7 tempayan. Lebih pun ada.

Lepas ziarah, terasa macam baru lepas berlari 400 meter berganti-ganti. Penat sebab bersesak-sesak dengan semua orang yang nak berziarah juga. Tapi tak berpeluh walaupun cuaca amat panas. Hari kedua saya di Madinah, bibir dah jadi kering sekering-keringnya. Rasa tebal semacam je. Hidung saya berdarah tapi bukan yang jenis meleleh tu. Terasa penuh dalam hidung ni. Kenalah selalu cuci. Memang masa kecik saya selalu berdarah hidung. Bila dah tua ni tak ada pulak. Kat Madinah ni dia berdarah semula sebab kepala saya panas kot.

Saya tak tahu sama ada ini nasihat yang berguna atau tidak tapi saya memang sangat-sangat menjaga wuduk di sana. Sebabnya adalah tandas sangat jauh dan orang sangat ramai kalau kita ke tandas. Lagi satu R&R mereka boleh dikatakan kurang memuaskan. Dengan orang yang ramai, kadang-kadang barang-barang kita terjatuh ke atas lantai tandas yang airnya bertakung sebab sistem aliran yang kurang baik. Maka, saya memang mempraktikkan doa yang Ustaz Razak ajar. Dia kata doalah supaya angin di dalam badan kita ditukarkan kepada sendawa. Saya nak tergelak juga pada mulanya tapi kita kena betul-betul yakin dengan bantuan Allah. Saya juga buat doa sendiri supaya ditukarkan urin kepada peluh. Saya memang jenis yang kuat berpeluh. Kat Malaysia, pantang aktif sikit, peluh berjurai-jurai sampai merah-merah muka. Alhamdulillah kat sana, walaupun berdoa supaya ditukarkan urin kepada peluh, saya kurang berpeluh. Dah la saya ni kerjanya asyik minum air zam zam. Makan pun kurang. Nak ikutkan kalau kat Malaysia ni, memang 10 kali pergi buang air. Tapi kat sana, dah la jarang buang air kecil, air besar lagilah jarang. Semua mineral air zam zam diserapkan dalam badan sampai hampir tak ada bahan kumuh LOL. Memang berkesan sungguh kedua-dua doa ni. Sepanjang masa saya berdoa dengan penuh yakin. Hasilnya, saya tak perlu nak bersesak-sesak nak ke tandas untuk memperbaharui wuduk. Masa juga jimat. Tak perlu jemaah lain tunggu kita lama-lama dalam bas semasa melakukan ziarah. Di sini masa sangat berharga. Orang ramai, kita tak perlu menyusahkan orang lain nak tunggu kita. Memang saya tak ada pengalaman masuk tandas-tandas di R&R di sana. Malah tandas Masjid Nabawi dan tandas Masjidil Haram pun saya tak pernah masuk.

Lagi satu, saya usaha supaya tidak tertidur di dalam bas bagi mengelakkan wuduk yang saya ambil di hotel tidak terbatal.

Kami berangkat ke Makkah sekitar selepas solat zohor. Azan zohor adalah azan terakhir yang saya dengar di Masjid Nabawi. Azan pertama adalah azan subuh. Sekejap sangat terasa kat Madinah.

Macam biasa, dalam bas saya masih duduk di depan. Kaki saya yang panjang ni tak mengizinkan saya duduk selain dari tempat duduk depan sekali. Kami sampai di R&R yang saya lupa namanya, hari telah hampir maghrib. Kami dijamu dengan makan malam dulu sebelum bersolat maghrib. Ramainyalah umat manusia kat R&R tu. Barulah kita tau bukan kita je yang nak ke Makkah pada hari dan masa yang sama.

Jemaah daripada pelbagai negara sedang menikmati makan malam di R&R yang saya cakap tu. Lupa namanya. Ini sikit ni.


Faiz ambil gambar dari belakang bas. Makcik kat depan sekali. Nampak? :-)


Kami dijamu dengan nasi arab lagi. Kali ni warnanya lebih kuning tapi sedapnya sama J

Nasi yang sangat sedap ni, saya makan 2 sudu je sebab saya tak lapar. Semakin saya nak ke Makkah, semakin saya tak lapar. Saya ingat mungkin sebab sekali umrah pun belum buat lagi, rupanya umrah pertama dah buat pun masih tak lapar. Nanti saya cerita di posting yang akan datang.


Nampak tak pinggan saya kosong. Saya ambil 2 sudu je. 2 sudu tu pun dah selesai dalam perut. Sudu tu saya tak makan lah.

Macam saya cakap tadi, disebabkan saya menjaga wuduk saya tak perlu ke tandas nak perbaharui wuduk. Saya perlu menunggu Kak Zah ambil wuduk sebab dia suruh saya pegangkan beg dia. Kat dalam tak ada tempat letak beg. Punyalah lama saya tunggu. Sampai maghrib dah panjang. Boleh bayangkan tak berapa lama saya kena tunggu sebab orang ramai beratur nak ambil wuduk.
Kak Zah keluar je dari tandas, dia cakap dia kena tukar seluar panjang yang dia pakai sebab seluar tu terjatuh atas lantai tandas. Haaa...kan dah cakap. Tandas tak berapa nak bersih. Tak ada kemudahan penyangkut macam tandas kita. Saya tak boleh bayangkan tandasnya macam mana. Teringin juga nak masuk tapi saya tak mahu ganggu orang yang nak ambil wuduk. Kita tak ada tujuan nak masuk tandas, dapat dosa je ganggu orang.

Bila maghrib dah mula panjang, orang pun semakin ramai nak masuk masjid yang kecik tu. Sampai pintu masuk pun sesak. Nak masuk tak boleh, nak keluar pun tak boleh. Akhirnya dapat juga masuk tapi kena berdiri kat saf paling belakang, dekat dengan dinding. Tunggu la situ sementara dapat saf yang depan sikit yang lebih selesa nak solat. Kak Zah nak cepat agaknya, dia lalu depan mak arab yang tengah solat. Hilang keseimbangan agaknya, dia terjatuh atas mak arab tu.

Kita kena banyak-banyak bersabar kat sini. Selain daripada kena banyak fikir dan rancang untuk kemudahan kita diri kita sendiri, kita kena banyak bersabar. Kalau tak sabar, banyak benda yang tak beres. Kena jaga wuduk untuk kemudahan nak solat. Kalau ada wuduk tak perlu tunggu lama dalam tandas. Masa solat pun tak memanjang. Kita dapat masuk masjid awal masa orang tengah tak ramai. Boleh dapat saf depan sikit. Dapat solat dengan tenang. Keluar masjid dan naik bas semula semasa orang lain sedang solat. Kan memudahkan kita.

Berbalik kepada solat maghrib (kami disuruh buat jama’ taqdim) kat masjid di R&R tadi, saya tunggu sekejap kat belakang kalau-kalau jemaah kat depan dah habis solat. Alhamdulillah, saya dapat solat paling depan. Kiri kanan saya tak ada orang. Siap solat saya tengok pintu keluar penuh sesak dengan orang keluar masuk. Saya duduk sekejap atas sejadah. Bila saya nak keluar, alhamdulillah pintu dah lengang sikit.

Suasana waktu maghrib di R&R


Bila bas sudah dipenuhi dengan jemaah, bermulalah perjalanan kami ke Makkah. Ustaz Bashar tanya; “Masih ada lagi yang belum solat? Terima kasih”. Hehehehe nampak sangat ayat perli sebab dia suruh buat jama’ taqdim, ada pulak yang nak buat jama’ takhir kat hotel kat Makkah. Tu semua sebab tak nak bersesak-sesak la tu.

Bersambung....