Wednesday, June 22, 2011

TA Mei 2011 - 3

Makan tu tak taulah pukul berapa waktu Saudi, pukul berapa waktu Malaysia. Sebab pertama kali saya pergi sana, saya tak fokus sangat pasal nak ambil gambar. Saya lebih fokus pada apa aktiviti yang akan dilakukan selepas setiap aktiviti. Tu pasal gambar tak banyak terutama di Madinah. Dah la tak boleh bawak kamera dalam masjid, lepas tu kami tak la lama sangat kat Madinah. 3 hari je. Dah makan kami semua masuk ke dalam bas semula. Ada yang sambung talbiah dalam mimpi. Ada yang berangan macam saya sambil paksa mata tengok kat luar yang gelap tu.

Sampai Madinah rasanya dekat-dekat subuh. Kami ditempatkan di Holiday Villa Hotel, beberapa meter daripada Masjid Nabawi je. Kiranya, dari hotel, kami jalan terus je ke Masjid Nabawi melalui pagar jemaah wanita, iaitu pintu Uthman Ibn Affan kalau tak silap saya. Melalui pintu ni sahaja wanita boleh masuk. Ada 3 pintu. Salah satu pintu ada lorong khas untuk yang menggunakan kerusi roda.

Setelah check-in di Holiday Villa, saya, kak zah dan tok mama ditempatkan di tingkat 11. Macam biasalah, orang macam saya ni dapat katil tambahan je lah. Takpelah. Syukur, alhamdulillah. Mutawwif dah bagitahu supaya bersiap-siap untuk solat subuh di Masjib Nabawi. Kami diarahkan berkumpul di lobi hotel lebih kurang jam 3 pagi. 3 pagi adalah azan pertama di Madinah untuk mengejutkan semua orang untuk bertahajjud. Azan kedua, sekitar jam 4 pagi waktu Saudi adalah azan subuh. Di Madinah, azan pertama yang saya dengar ketika saya berada di dalam Masjid Nabawi adalah azan subuh. Sayu sampai terkedu tak terkata. Bergenang airmata saya.

Masjid Nabawi sangat ketat kawalan sekuritinya. Wanita tidak dibenarkan membawa kamera atau telefon bimbit berkamera. Telefon bimbit tak ada kamera dibenarkan. Tapi lelaki, boleh bawa apa saja masuk dalam Masjid Nabawi. Tak tahulah kenapa. Jadi, saya tak berani bawa kamera ke Masjid Nabawi. Setiap kali nak masuk Masjid Nabawi, beg kami akan diperiksa.

Lepas solat subuh, kami bersarapan di dewan makan hotel. Saya rasa tak selera nak makan. Tapi saya makan jugalah. Perut ni tak boleh isi banyak sangat. Cepat penuh. Saya makan sikit je.

Dewan makan kami di Holiday Villa Hotel, Madinah

Aktiviti seterusnya adalah menziarahi Makam Rasulullah. Pukul 6.30 pagi kat sana macam pukul 10 pagi kat Malaysia. Suhu? Saya tak pernah rasa suhu sepanas itu di Malaysia. 45 darjah. Kalau kat Malaysia kita selalu kata panas, itu memang tak panas kalau nak dibandingkan kat Madinah. Angin pun panas. Yang peliknya tak berpeluh. Kalau berpeluh pun, sapu tangan yang lap peluh tu dah basah kan? Kain yang basah tu tak panas. Sejuk je. Masa ziarah ni la saya bawa kamera. Konon-kononnya nak ambil gambar tapi Kak Min kata jangan ambil gambar dulu. Saya sempat snap sikit-sikit je. Tu pun curi-curi. Tak senonoh betul. Sebenarnya, disebabkan kat situ tak boleh bawak kamera, saya ambil kesempatan snap gambar masa kumpulan saya beramai-ramai. Tak adalah nampak sangat melanggar undang-undang. Kalau bukan dengan kumpulan memang saya tak berani nak bawak kamera. Saya memang jenis yang penakut sikit nak langgar undang-undang. Muka memang tak boleh tipu kalau dah langgar undang-undang. Boleh nampak muka pucat.

Kumpulan saya dibawa untuk menziarahi Makam Rasulullah. Ini adalah pagar yang terus ke pintu Masjid Nabawi bahagian wanita.

Yang tukang ambil gambar mestilah tak ada dalam gambar kan?

Ustaz Razak yang bimbing kami ke Makam Rasulullah. Kat kawasan tu kita tak boleh nampakkan kita macam berdoa tau. Kita kena berdoa dalam hati. Tangan kena duduk diam. Kat sana lain, diorang memang taknak nampak macam benda-benda yang kita buat ni macam khurafat. Ustaz Razak ni dalam serius tu ada kelakarnya. Tak tahan nak gelak pun ada. Tapi masa dia bacakan doa, bila dia sebut tentang kami menyaksikan syahadah kami depan Makam Rasulullah, meleleh lagi airmata makcik ni.

Lepas tu kumpulan kami berpecah. Lelaki ke Tanah Perkuburan Baqi’. Perempuan ke Raudhah. Raudhah? Laaaaa...kenapa tak cakap nak ke Raudhah. Kamera yang dalam beg saya ni macam mana? Kak Min kata tak apalah. Tawakal je. Memang saya betul-betul tawakal. Kebetulan masa saya nak masuk je pintu masjid, polis wanita kat pintu tu tengah bersembang dengan kawan dia. Saya terus meluru masuk. Ya Allah, punya la saya takut. Berderau darah saya. Lepaslah saya ke dalam dengan kamera. Kamera duduk diam dalam beg. Tak keluar-keluar sampailah balik hotel hehehehe.

Inilah dia kawasan Pekuburan Baqi'. Perempuan kan tak boleh masuk kawasan ni. So, terpaksalah curi gambar dari kamera Faiz (Abg). Sorry ye Abg, Aunty eL curi sikit je :-)

Ni pun curi gambar dari kamera Abg. Lelaki boleh bawak kamera. Perempuan tak boleh.

Gambar atas ni lah yang dinamakan Raudhah. “Ruang antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga". Dan inilah juga keadaan di dalam Raudhah. Beza Raudhah dengan tempat-tempat lain dalam Masjid Nabawi adalah warna karpet. Warna karpet seluruh masjid adalah merah tetapi warna karpet kat Raudhah ni hijau pudar. Walaupun warnanya pudar tetapi cantik mata memandang. Lagi satu, bezanya tiang-tiang putih. Kat kawasan lain pun ada tiang-tiang putih, tapi kat sini tiang-tiang putih dia lain sikit. Ramainyalah orang. Cuba bayangkan macam mana nak solat kat sini? Tapi kita kena yakin yang kita boleh solat kat sini kalau kita betul-betul nak dan nekad. Raudhah ni kalau kaum lelaki, sepanjang masa dia bukak. Tapi kalau kaum perempuan, ada masa-masa yang dia bukak. Disebabkan ada masa-masa dia tu la, bila tiba kaum perempuan punya giliran, tempat ni bertambah sesak. Semua perempuan nak masuk sini. Sedangkan kaum lelaki yang tak ada had masa pun macam ni sesaknya, inikan pulak kaum perempuan yang ada had masa. Berjam-jam nak tunggu nak masuk sini.

Bahagian kaum lelaki dalam Masjid Nabawi. Karpet warna merah.
Credit to Abg.

Kawasan Raudhah.
Nampak tak warna karpet hijau pudar?
Credit to Abg.

Kak Min, agen kami yang nak bawak masuk ke Raudhah ni. Dia suruh masuk je ikut dia. Tapi bila dia dapat masuk, saya kena tahan dengan polis wanita yang jaga tu tak bagi masuk. Terpaksalah duduk kat karpet merah tu lagi tunggu giliran. Kat sini kena tunggu giliran. Dia ada kawasan-kawasan menunggu ikut negara. Kalau arab, duduk kawasan depan. Kalau Iran, Pakistan, Turki, duduk kawasan lain. Kalau Malaysia, Indonesia dan Singapura duduk satu kawasan. Diorang panggil kawasan Melayu. Polis wanita kat sana sampai dah boleh cakap melayu sikit-sikit. Contohnya: "ibu, duduk ibu", "ibu, masuk sini ibu". Tunggu punya tunggu, sebab pertama kali kan, tak biasa, terus rasa nak balik je. Nak datang lain kali. Pengalaman pertama ni mengajar kita bahawa, dah ada kat situ, tunggu je sampai dapat masuk. Tidak ada perkataan "lain kali". Masa kami berjalan nak balik tu, kami nampak peluang untuk menyelinap. Dengan izin Allah, kami dapat masuk masa polis-polis wanita yang jaga tempat tu leka bersembang. Sampai je dalam kawasan Raudhah, biasalah makcik kan dengan terkedu makcik ni, tak sangka dapat masuk kawasan tu. Saya cakap dengan Kak Zah, suruh dia solat dulu dan kami jaga kawasan sujud dia supaya dapat sujud dengan selesa. Dia cakap kat saya, jangan tunggu-tunggu. Pergi je solat sendiri. Makcik terkedu lagi. Dah dia cakap macam tu, saya senang je dapat tempat solat sebab saya kan besar. Orang arab nak langgar pun diorang fikir 10 kali. Lepas saya dah solat, saya bagi ruang pada orang arab yang berdiri belakang saya.

Tengok signboard ni. Memang betul pun. Nak ibadat, janganlah bersesak-sesak, tolak orang sana, tolak orang sini. Elok-elok kita nak ibadat dapat pahala, dapat dosa pulak. Orang-orang arab ni bukan kira, main langgar je ikut suka hati. Kita pulak, jangan ikut. Itu bukan budaya kita. Kalau budaya kita tak ada tolak menolak, jangan pulak sampai sana kita jadi macam diorang. Ada banyak cara lain selain dari tolak menolak. Rasulullah pernah bersabda, orang yang tetap pendirian adalah orang yang bila orang buat baik kat dia, dia buat baik. Orang buat jahat kat dia pun dia buat baik jugak. Jadilah orang yang tetap pendirian. Biar orang tolak kita, kita jangan tolak balik.

Sampai ada signboard bahasa melayu kat sana. Lebih kepada bahasa Indonesia sebenarnya.

Bila saya dah selamat solat dan berdoa di sini, bila saya dah balik hotel, saya terfikir, macam mana agaknya tengah saya sujud tu, orang terjatuh atas saya dan terpijak atas tengkuk saya ke. Aduhhh.....tak terbayang rasanya. Allah memang sayangkan saya. Kisah Kak Zah yang buat saya terkedu tu bukan apa. Sebelum saya ke sini, saya banyak baca buku dan dengar cerita daripada orang yang pernah pergi. Teknik-teknik dan cara-cara untuk beribadah pun penting kita tahu dan belajar. Saya cuba praktikkan di Raudhah untuk keselesaan bersama tapi kalau taknak, apa boleh saya buat. Saya turunkan satu teknik yang saya dapat dari Kak Aida kalau kita nak bersolat dan berdoa di Raudhah. Kalau boleh jangan pergi seorang. Kalau pergi berdua atau bertiga atau berempat, kalau kita dapat ruang bersolat di Raudhah, suruh sorang bersolat dan berdoa kat situ. Yang lain tolong jaga kawasan sujud dan tolong kepung kawasan kiri dan kanan orang yang nak bersolat dan berdoa tu. Jadi kita dapat solat dengan selesa. Ikut giliran. Kalau tak buat macam tu, kalau kita tengah berdiri masa tengah solat, orang-orang arab ni nampak depan kita kosong, diorang main masuk je. Macam mana kita nak sujud. Dalam Raudhah ni, diorang dah tak ikut mana sejadah, masa saf dah. Masing-masing nak ruang. Asal ada ruang kosong, masuk.

p/s: kau pergi nak ibadat ke nak ambil gambar el? Nak jawab jugak - ni cerita the evil side of me la ye. Esok-esok saya cerita the angel side of me pulak. Nampak macam riak la pulak nanti kot eh. Takpe, yang baik jadikan teladan.

bersambung.....

TA Mei 2011 - 2

Setelah sejam, kami berjaya melepasi terminal haji. Bas sudah menunggu. Saya kira kumpulan kami 9 orang semuanya adalah kumpulan paling akhir menaiki bas. Sampai di Madinah, bas berhenti di sebuah kawasan untuk mengambil mutawwif kami, Ustaz Bashar. Tak tahu kawasan apa sebab masa tu masih gelap walaupun dah masuk sepertiga malam. Ustaz Razak, mutawwif yang bagi kursus umrah kata kita akan rasa hiba dan sebak ketika sampai di Madinah dan melihat rumah-rumah yang ada di Madinah. Jangan pulak kita tengok mata kawan sebelah kita berair ke tak masa tu. Tapi Mungkin sebab urat air mata saya mengeras, saya terkedu sampai tak terkeluar air mata. Saya terkedu sebab saya tak sangka yang saya boleh sampai ke sana. Saya tak pernah terfikir untuk sampai ke sana. Lagipun kegelapan malam tak nampak pun rumah-rumah kat Madinah. Jemaah-jemaah lain sibuk bertalbiah dalam mimpi. Cuma ada satu part bila Ustaz Bashar cerita pasal apa entah saya dah lupa, meleleh juga la airmata saya akhirnya.

Saya memang tak boleh tidur dalam keadaan bertukar tempat tidur, waktu tidur yang dah bertukar dan keadaan dalam bas yang sempit. Bila tak cukup tidur, saya bimbang saya akan demam tapi saya tawakal je. Dah bawak macam-macam ubat. Tapi sangkaan saya meleset. Kenapa? Tunggu. Saya akan ceritakan dalam episod yang akan datang. Wah...ada episod you.

Sampai di R&R, kami semua disuruh turun untuk makan dan bersolat jama’ takhir bagi sesiapa yang tak sempat solat maghrib di terminal haji tadi. Sayalah tu. Di dalam kursus umrah, saya dah diberitahu yang R&R mereka sangatlah tidak bersih. Memang betul. Mereka patut belajar dengan Malaysia bagaimana hendak menjaga R&R terutama tandas awam.

Kami dijamu dengan nasi arab. Nasi arab ni kering je. Tak ada kuah tapi sangat sedap. Orang arab mungkin telah diberitahu yang kita jarang makan sedulang ramai-ramai, jadi diorang sediakan piring plastik. Diorang campak-campak je depan kita. Orang kita, bila dengan orang lain, kan peramah, baik dan berbudi bahasa. Jadi bila orang arab ni campak piring plastik tu depan kita, kita terkejut pun kita senyum. Bila kita senyum tu, diorang pun senyum. Makin seronoklah mereka campak.


Trust me, nasi dia je sangat sedap. Entah berapa sudu saya makan nasi dia je. Saya tak ambil sangat ayam atau ikan tu. Bagi peluang kat yang tua dari saya berebut ikan dan ayam tu LOL

Masa ni mamai. Mata tak boleh nak bukak. Badan dah lemah. Suruh makan pulak tu. Lagi la lemah. Ambil gambar ni pun sebab tengok Tok Jae keluarkan kamera. Kalau tak, tak ada la gambar nasi arab ni kot.

bersambung....


Wednesday, June 15, 2011

TA Mei 2011 - 1

Setelah saya kembali ke sini, saya menyedari bahawa ada sebuah dunia di sebelah sana yang buat diri saya sangat kerdil. Bagi saya, kita semua tiada apa jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang saban waktu dekat dengan Pencipta.

Salah pilihkah kita?

Mungkin saya yang nampak berbeza hanya kerana mereka bekerja mengulit Al-Quran dan Hadith, tapi saya bekerja mengulit komputer. Ada masa-masanya dalam sehari saya pegang Al-Quran. Sedangkan mereka saban waktu. Saat saya mengulit komputer, mereka mengulit Al-Quran. Saat saya memegang Al-Quran, mereka masih memegang Al-Quran. Apakah amalan mereka lebih dari saya? Kerja seharian kita juga berpahala kan?

Dua hari sudah saya tiba di Malaysia. Malam-malam saya dipenuhi dengan mimpi-mimpi tawaf dan dakian ke Jabal Nur. Sebangunnya saya, airmata mengalir.

Hari saya bertolak, seawal pagi saya mandi sunat musafir dan solat sunat musafir setelah fardhu subuh. Hari itu membuatkan saya berdebar-debar di KLIA. Betul ke aku akan ke sana? Melepasi imigresen, dilambai oleh kaum keluarga di Aras 5, membuatkan saya mengalihkan muka cepat-cepat. Saya tak mahu mereka tahu ada titisan yang bergenang.

Menaiki pesawat MAS, tak seindah yang disangka. Orang berkaki panjang macam saya, manalah muat dengan ruang yang sekangkang kera tu. Tapi itulah awal dugaan. Sabar selama 8 jam untuk sampai ke tanah Madinah. Keadaan yang sebegitu membuat saya cemburu dengan orang lain yang boleh tidur sampai berdengkur(!)

Makanan dalam pesawat? Syukur alhamdulillah walaupun tak kena dengan selera, apa pilihan yang kita ada? Itu pun dah seribu rahmat kalau nak dibandingkan dengan mereka yang tidak makan langsung ketika itu.

8 jam berlalu, tiba di Jeddah dan bas sudah menunggu untuk dibawa ke Terminal Haji. Dari awal, di dalam kursus umrah kami telah diberitahu bahawa Terminal Haji adalah terminal yang sangat azab dan langsung tiada apa-apa makanan. Kami mungkin ditahan berjam-jam di sana mengikut nasib. Pegawai-pegawai imigresen mereka ikut suka hati hendak kerja atau tidak. Kami dinasihatkan supaya membawa makanan dari rumah seperti biskut atau roti. Kami sampai ketika maghrib waktu Saudi. Terkocoh-kocoh untuk solat maghrib tetapi dihalau oleh polis untuk masuk ke dalam kawasan pemeriksaan paspot. Jamak takhir la jawabnya. Alhamdulillah, tak sampai satu jam, kami semua melepasi imigresen Saudi. Kami bernasib baik. Menurut agen kami, Kak Min, pernah satu ketika dia membawa jemaah, mereka ditahan selama 6 jam(!)

Terminal haji. Salah satu tempat permulaan di mana kesabaran anda diuji. Orang yang seramai ini, hanya beberapa kaunter dibuka. Ia menjadi semakin buruk sekiranya pegawai imigresen mereka mengambil masa rehat mereka ikut suka.

Anda dinasihatkan supaya meminta pramugari/pramugara mengisi botol kosong yang dah siap-siap dibawa dari rumah dengan air minuman yang ada dalam kapal terbang dan bawa sedikit makanan dari rumah. Contohnya biskut atau roti. Kat terminal tiada sebarang makanan atau minuman. Bila sampai sini, kena tunggu lagi, perut pun mula berlagu arab. Bersama kita, kalau nak naik kapal terbang, kita tak boleh bawa sebarang cecair melebihi 1000ml kalau tak silap saya. Nak bawa jugak, kena letak dalam beg besar yang kita check-in tu.

bersambung....