Thursday, December 30, 2010

One-Two Is Not Bad At All Compared To Three-Zero

Haaaaaa...macam tu la. Kena laser pun tak kecoh nak boikot berhenti main 5 minit. Gimme five la Fahmi(!).

Akak engkau ni kan Fahmi, memang tak minat bola langsung. Entah macam mana hari tu, tertengok @15 ada budak tanya kat moderator pasal bola kat Bukit Jalil. Lepas tu akak engkau ni tertanya-tanya la, ada bola ke? Piala apa? Tak tahu pun kekeke. Kalau tahu pun, akak engkau ni buat tak tahu je. Disebabkan budak tu tanya la, akak engkau pun mengadap TV tengok korang kejar bola yang sebiji tu. Terima kasihlah kat budak tu.

Semalam pun kalau orang tak sibuk kata final tu malam tadi, memang akak engkau ni missed la kot. Buat pertama kalinya akak engkau ni tengok bola duduk diam tak berkelip. Sambil jerit sorang-sorang. Hantu pun lari dengar jeritan akak. Dia ingat geng dia dah kena tikam jadi hantu untuk kali kedua kot.

Tangan engkau ada magnet kot ek Fahmi? Tak pernah la akak engkau ni nak puji-puji orang main bola bagus. Itu pun akak engkau ni baru tengok satu perlawanan hehehe.

Anyway Fahmi, kan dah tercakap omputih - engkau memang BAGUS!!!!



p/s: Errr...yang lain jangan muncung akak cakap Fahmi bagus. Korang pun bagus sangat-sangat. Kalau tidak, kita takkan menang. Korang memang BAGUSlah!!!!

p/s1: Terima kasih Pak Jib. Nasib baik saya memang tak apply cuti esok. Dapat percuma.

Monday, December 27, 2010

Saya Nampak Sinaran Laser Tu...

Warna hijau(!) Malulah sikit. Takkan kita nak menang dengan cara macam tu. Pemain elok-elok main, orang yang menonton pulak yang buat hal. Pemain tak perlukan sinaran laser tu untuk gol. Mereka dah buktikan dengan 3 gol tanpa sinaran laser korang tu. Patut korang bantu diorang. Bukan dengan laser tapi dengan semangat. Mereka perlukan itu je. Diorang penat dan stress kat tengah padang tu. Tiba-tiba kena berhenti. Ingat senang ke nak sambung balik bila dah berhenti. Nasib baik diorang main mati-matian. Korang nak diorang menang, sumbat gol untuk korang tapi itu balasan korang kat diorang.

Kalau diorang pernah guna laser kat kita pun, takkanlah kita pun nak buat benda yang sama. Nampak sangat taraf pemikiran kita sama macam diorang. Benda yang tak elok tu janganlah ikut.

Lagipun, itu menunjukkan betapa buruknya attitude rakyat negara korang bila korang buat macam tu. Cubalah bagi mereka main dengan bersih. Peliklah korang ni. Dah dilarang jangan bawak laser dan mercun, korang bawak jugak. Takkanlah nak guna peralatan canggih untuk mengesan benda-benda tu kat pintu masuk.

Memang patutlah korang ni kena disekolahkan lagi(!)

Thursday, December 23, 2010

Kehidupan Terindah Adalah Ketika Remaja. Betul Ke? 7

sambungan....

Pergi dan balik sekolah memang saya naik bas. Bas sekolah. Bukan bas antara bandar tu. Kat kawasan saya kami panggil bas Len Seng. Masa tu bas sekolah belum diwajibkan berwarna oren. Macam zaman 60an je bunyinya kan? Saya naik bas Len Seng tu hanya hari tertentu je, bila saya ada waktu 9. Waktu 9 saya bermula ketika saya berada di tingkatan 4. Sebab tingkatan 4 la ada subjek sains tulen. Nasib baik ramai juga yang kena naik bas Len Seng tu. Boleh jugak jalan kaki sama-sama sebab bas Len Seng nak ke rumah saya tak lalu depan sekolah saya. Kalau saya sorang, mahu saya jalan kaki balik rumah. Nak jalan kaki ni makan masa setengah jam jugak. Tak ada masalah pasal masa sangat. Yang masalah bagi saya ialah anjing(!). Saya memang takut sangat-sangat dengan anjing. Nak balik rumah kena lalu kawasan setinggan yang penduduknya kebanyakannya bukan melayu. Pernah jugak kena kejar anjing. Saya tanya abah apa nak buat kalau terserempak dengan anjing yang macam nak kejar kita. Abah kata, tunduk buat-buat macam nak ambil pasir atau batu dan buat-buat lempar kat dia. Menjadi tu memang menjadi, tapi takut mengatasi perbuatan nak melempar tu. Dalam kepala ni, kalau aku tunduk ni kang, tak nampak muka dia, tiba-tiba nampak dia dah melompat je kat muka aku, cane? Hahahaha!!!

Kalau naik bas Leng Seng, budak-budak ni boleh menggedik sikit. Diorang ni kan anak dara baru nak naik. Masing-masing cantik-cantik. Bila bas Len Seng lalu je, masing-masing menggedik kat tepi jalan. Orang dalam bas tu semua tengok je. Saya pulak, segan nak berdiri tepi jalan tunggu bas. Segan orang dalam bas tu tengok-tengok. Selalunya saya berdiri belakang-belakang diorang tu. 

Dulu naik bas sekolah memang kena keluar sebelum bas datang. Eh, sekarang pun macam tu kan? Hehehe. Ke bas dah ada depan rumah, kita terhegeh-hegeh pakai kasut sampai bas dah hon? Macam mana nak cam yang tu bas sekolah kita, tengok pada kepala bas. Kadang-kadang tertipu jugak kalau tuan punya tu beli bas baru sebab kepalanya lebih kurang sama dengan bas lain. Bas jarang kosong bila sampai rumah saya. Yang paling tak best bila tiba-tiba makcik bas datang dengan van(!). Tu tandanya bas rosak. Nak tak nak kena naik. Barulah tahu apa perasaan ikan sadin bila kena duduk dalam tin. Nak buat macam mana. Kita memang bergantung pada bas sekolah. Naik jugaklah kalau nak pergi sekolah. Terutama sekali saya, kalau terlepas bas sekolah, memang tak pergi sekolahlah saya. Saya memang tak pernah terlepas bas sekolah. Kalau bas datang 12.15pm, 10 minit sebelum jam 12pm saya dah keluar rumah. Bas bukan berhenti depan rumah. Saya kena jalan keluar. Budak-budak sekarang ni, dah la bas sekolah tak penuh, bas sekolah pun dah boleh masuk TV(!).

Masa saya sekolah rendah, kalau bas rosak memang sakitlah sikit. Saya kena bergegas balik rumah sebab nak kejarkan masa nak ke sekolah agama pulak. Kadang-kadang tak sempat makan. Punyalah takut kalau sampai lambat ke sekolah agama. Tempat duduk sekolah agama tak tetap. Selalunya tempat duduk saya nombor dua depan sebelah tepi. Kalau saya lambat, saya duduk belakang sekali. Bila uztazah lambat, masing-masing sibuk jenguk kat pintu. Bila nampak uztazah dari jauh, terus berlari ke tempat duduk semula. Semua orang takut dengan ustazah dulu. Ustazah ada rotan yang dia dah gulung jadi bulat. Saya tak pernah kena dengan rotan tu. Budak-budak sekarang ni dengan mak ayah pun tak takut, inikan pulak dengan ustazah.

Dulu sekolah agama tak ada darjah 1 sampai darjah 6. Semua sama je dalam satu kelas. Satu hari, ustazah panggil nama sorang-sorang. Lepas tu dia suruh duduk kat tengah-tengah surau. Oh ye, lupa pulak nak bagitahu. Dulu sekolah agama saya kat surau. Bukan sebelah surau macam sekarang. Dalam surau tempat orang solat tu. Dalam surau tu terbahagi kepada 3 bahagian. Satu bahagian yang seusia lebih kurang dengan saya. Bahagian hujung sana untuk budak-budak tadika dan ke bawah. Bahagian tengah kosong. Kat bahagian kosong ni lah ustazah suruh kami duduk. Bahagian tengah ni tak ada kerusi meja macam bahagian kiri dan kanan. Duduklah bersila, bersimpuh kat situ baca Quran sebelum ustazah panggil baca sorang-sorang. Rupanya yang duduk kat tengah-tengah tu budak-budak yang masuk darjah 2 kat sekolah agama tu. Kat sekolah agama tu cuma ada kelas sampai darjah 2 je.

Sekolah agama dulu tak macam sekolah agama sekarang. Dulu, pelajaran utama baca Quran sampai pandai. Dah baca, ustazah akan tulis kat papan hitam apa-apa topik tentang Tauhid, Feqah, Sirah dan Tajwid. Baru sekarang saya hargai sekolah agama dulu-dulu. Dari sekolah agama tu la saya pandai baca Quran. Saya khatam pun kat sekolah tu. Saya belajar tajwid yang saya ingat hukum-hukum sampai sekarang pun kat sekolah tu. Yuran bulanan baru RM5. Sekarang ni, belajar tajwid kat UIA dan bayar 1 semester RM300 pun belum tentu boleh ingat hukum-hukum tajwid tu. Sekolah agama sekarang pun rasanya tak ada belajar mengaji. Saya tengok Alya tu, kalau nak mengaji kena pergi rumah ustazah dia pulak lepas sekolah agama. Penatnya la dari pagi sampai petang asyik sekooooooolah je(!)

bersambung.........

Tuesday, December 21, 2010

Kak Limah Taknak Balik Rumah

Saya lupa nama program tv yang berunsur mistik kat TV3 tu. Ala.....yang bila nak habis je program tu, pengacara dia akan cakap "jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri" tu. Lepas tu, dulu ada prgram Seekers pulak kan? Saya lupa la Seekers tu sebelum atau selepas program misteri kat TV3 tu. Yang kat TV3 tu selalu saya tengok. Seekers tu saya tak pernah tengok. Saya teringin nak tengok tapi selalu tak dapat. Dah bertahun-tahun lamanya nak tengok.

Dua tiga minggu lepas saya dapat tengok Seekeers kat NTV7. Entah musim bila punya. Yang buat bertambah teringin nak tengok bila baca suratkhabar baru-baru ni pasal bos Seekers ni kena saman dengan saya mantan permaisuri Selangor. Tak tau la bos tu adalah bos orang-orang yang dalam program Seekers yang saya tengok tu ke tak. Dah tengok program tu, saya terfikir, untuk apa diorang berusaha CARI makhluk Allah yang tak nampak tu eh? Apa tujuannya mencabar benda-benda tu suruh jatuhkan botol la, itu la, ini la. Itu belum masuk lagi apa yang dalam kepala ni bercakap. Tu la pertama kali tengok Seekers. Rasanya tak nak tengok lagi huhuhu......

Sebabnya?

Satu petang. Macam perjalanan balik dari pejabat. Rasanya hari Jumaat sebab dari pakaian saya, macam dress down je. Ofis saya, hari Jumaat adalah happy friday, boleh dress down. Suasana macam kat terowong Aquaria. Memang tiap-tiap hari lalu situ pun nak ke lrt. Nak sampai kat foodcourt Aquaria tu, tiba-tiba nak jalan ke depan terasa berat. Macam ada orang tarik ke belakang. Memang betul. Saya kena tarik terus dibawa ke atas siling depan Aquaria/Coffeebean. Lepas tu saya ditolak balik ke tempat asal di mana saya kena tarik tadi. Lepas tu saya di tarik balik ke atas siling. Dua kali saya kena macam tu, saya rasa mungkin saya akan dihempas ke bawah. Aduhh...mesti sakit badan saya. Saya sedar tapi mata saya tak boleh buka dan saya tak berdaya nak lawan. Sangkaan saya meleset. Saya diturunkan perlahan-lahan ke bawah. Ada pulak kawan-kawan saya kat situ. Saya tak kenal tapi mereka dikatakan kawan-kawan saya. Diorang tengok je saya. Diorang kata, itu adalah kejadian normal. Cehhhh!!!! Jantung aku macam nak luruh, korang kata normal.

Tak mahu dah saya tengok apa jugak cerita yang bercorak seram.

Sampai termimpi-mimpi entah apa-apa!!!!!!!!!

Wednesday, December 15, 2010

Penyakit Ke Ni?

Saya mempunyai masalah - dengar lain, tulis lain. Apa nama saintifik penyakit ni eh? Ni namanya penyakit ke atau memang dah nyanyuk? Nyanyuk tu penyakit ke?

Hahahaha!!! Saya tak tahu jawapan kepada semua soalan tu.

Semalam Juliana bagi saya nombor akaun untuk masukkan duit jualan BMW. Dia bagi nombor 289179. Saya tulis 289176. Bukan setakat salah tulis nombor. Salah tulis bentuk nombor pun ye jugak. Dari nombor 9 TERtulis nombor 6. Nombor ni, kalau kita salah tulis satu nombor pun ia akan mengubah segala-galanya. Kalau nombor tu tak wujud tak apa. Contoh, nombor akaun. Buatnya wujud, tak pasal je transfer duit ke akaun orang lain. Orang sebelah sana senyum sebab dapat duit percuma, orang sebelah sini meraung hilang duit.

Kalau saya salin nombor akaun, berkali-kali saya periksa sama ada betul atau tak. Nombor telefon pun macam tu.

Dah lama saya perhati "penyakit/masalah" saya ni. Memang tak ada ubat kecuali fokus. Agaknyalah.

Tuesday, December 14, 2010

Hidupkan Cili

Dah seminggu mak duduk rumah saya. Dia ambil kesempatan sempena cuti sekolah ni sementara Alya tak ada. Alya ke London cuti sekolah kali ni. Kelas mengaji mak pun cuti bila tiba cuti sekolah.

Dah 5 tahun saya tak duduk sekali dengan mak. Rasa janggal sangat bila balik kerja je dah ada orang masak. Selalunya kalau saya balik kerja, kalau saya lapar sangat saya buat sandwich telur je atau saya tak makan langsung. Kalau saya rajin sangat, saya masak nasi jugak. Penat pun masak.

Jarang saya buat sambal makan dengan ulam. Selalunya saya makan ulam macam tu je tanpa sambal. Saya tak kisah. Asalkan dapat makan ulam. Saya tak cerewet. Makanya, dalam peti sejuk saya jarang ada cili besar atau cili api. Kalau ada pun, sampai dah layak untuk buang.

Satu malam mak tanya, "Awak tak menghidupkan cili ke kat rumah ni?". Haaaa? Nak hidupkan macam mana mak? Mana ada tanah. Nak hidupkan dalam pasu ke? Nanti jadi macam kat Bangsar. Dah besar pokok cili saya, esok pagi bangun tengok-tengok botak pokok cili tu. Habis semua daun. Tak tahu siapa yang makan. Dah beberapa kali jadi macam tu. Kecewa saya. Kalaulah saya dapat tengok siapa yang makan tu. Tapi tak kuasa pulak saya nak bangun tengah malam nak tengok siapa parasit tu. Tak apalah. Saya anggap sedekah je. Mungkin makhluk tu lapar kot tak ada makanan.

Mak jawab, "Bukan hidupkan dalam tanah. Hidupkan dalam peti sejuk tu". 

Oh. Simpan cili dalam peti sejuk ke.


Saturday, December 11, 2010

Kehidupan Terindah Adalah Ketika Remaja. Betul Ke? 6

sambungan....

Errr...saya pernah bagitahu ke yang saya cerita ni bukan sekolah campur? Sekolah ni semuanya perempuan termasuk guru-gurunya. Ada 2,3 orang je guru lelaki yang baru keluar maktab. Itu pun jadi rebutan. Macam tak pernah tengok lelaki diorang ni.

Cerita pasal tak pernah tengok lelaki, masa guru biologi saya cuti bersalin, ada sorang cikgu ganti datang. Rasanya cikgu tu freshie dari UKM. Lelaki. Cikgu ni macam Donut sikit. Aduhh...nak tergelak sebut Donut. Saya rasa hati dia lembut jugak kot. Kelas saya perempuan melayu tak ramai. Tak sampai 10 orang. Yang berpuluh-puluh lagi tu, bukan melayu. Dalam banyak-banyak melayu ni, saya tak tau la pulak si Aida ni ada idea yang tak pernah saya terfikir. Kejap lagi saya cerita apa idea dia tu.

Cikgu lelaki ni, apa nama dia eh. Lupa pulak saya. Saya letak nama dia Cikgu A la ye. Kebetulan masa dia datang, sekolah kami ada Minggu Sains. Setiap kelas kena buat satu projek sains untuk pameran pada hari terakhir. Diorang pamer projek sains ni kat perpustakaan. Saya tak tau pulak yang setiap kelas kena buat. Dah tengah-tengah minggu kelas kami masih tak ada apa-apa projek. Tak ada sorang pun yang dalam kelas saya bagi idea. Yang saya pulak, sebagai ketua tingkatan, saya tak tau saya yang memainkan peranan dalam hal ni. Kena aktif dan proaktif. Habis tu, menang jadi ketua tingkatan tanpa bertanding, buat kerja pun macam tak la aktif sangat.

Lepas tu saya cakap kat empat sekawan Hardy Boys, apa kata kita buat ujian bakteria. Kebetulan kami baru je lepas buat ujian bakteria beberapa minggu sebelum tu. Saya main tulis apa saya ingat je la ye. Nama ujian tu pun saya lupa. Yang saya tau, kami buat ujian untuk dapatkan bakteria baik dan bakteria jahat LOL.

Saya memang tak yakin yang eksperimen kami tu akan berjaya. Bagi idea je pandai. Tapi si Suhaila ni buat bersungguh-sungguh. Bila sampai harinya memang berjaya jugak la eksperimen kami. Bakteria tu bagi kerjasama sepenuhnya membiak dengan baik dan gemuk-gemuk hahahaha. Macam la boleh nampak bakteria tu bila sebut "gemuk-gemuk". Terbayang bakteria yang gemuk-gemuk dalam iklan aircond kat tv. Masa bakteria tu membiak, saya tak sabar-sabar nak suruh si Suhaila tu tengok. Punya la teruja sampai saya tarik tangan dia sambil berlari ke makmal. Dia terjatuh tersadung pokok renek yang ditanam kat tepi-tepi makmal. Kesian dia. Luka lutut dia. Marah dia kat saya. Rasanya saya gelak je kat dia kot.

Ramai jugak yang tengok booth kami masa Minggu Sains tu. Saya pun tak sangka. Semakin hari, bakteria tu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan hinggalah kami terpaksa buang semuanya lepas Minggu Sains dah habis.

Idea si Aida yang saya nak cerita tu - masa kami nak buat eksperimen bakteria tu si Aida bagi idea supaya kami datang hari Sabtu untuk buat eksperimen di bawah pengawasan Cikgu A ni. Jadi, kami ni berempat dan Cikgu A ni. Hari Sabtu yang dijanjikan, kami sampai dulu ke sekolah. Kami terus masuk makmal. Bukak tingkap dan pintu segala, kami pun mula berlagak macam saintis jadi-jadian. Dari jauh kami nampak Cikgu A lenggang kangkung datang. Si Aida ni punya la geliga, cepat-cepat dia suruh kami semua menyorok seolah-olah macam kami ni tak datang la. Saya tak tahu lah apa tujuan si Aida ni buat macam tu. Kami pun macam magnet kena tarik, sekelip mata kami menyorok bawah meja makmal. Senyap sunyi masa tu. Nak tergelak pun ada. Agaknya si Aida ni tak tahan nak tergelak, dia yang terburai gelak dulu. Cikgu A terpinga-pinga kena gedik dengan murid dia macam Aida. Saya lagi la pelik. Apa si Aida ni punya motif? Gurau jenis apa la yang kau buat tu Aida. Kau ada hati dengan Cikgu tu eh Aida? Kau yang nak bergurau dengan dia, kau ajak kami sekali ye. Cehhhh!!

bersambung.......



p/s: si Aida tu memang la sangat cantik orangnya sekarang kerja kat Affin Bank. Dah ada 2 orang anak lelaki tapi bukan kahwin dengan Cikgu A. Suhaila dah ada anak 2 orang, sepasang. Peguam di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Aini - belum kahwin kot sebab saya belum dapat pun kad kahwin dia hehehe. Sekarang kerja dengan agensi pelancongan. Saya - belum kahwin kot hahahaha! Ada ramai anak - anak tekak, anak mata, anak rambut. Kerja - penternak bakteria berjaya. Sekarang dah jarang berhubung dengan diorang ni. Sekali dua kala je. Cikgu A? Entah. Dia ingat kitorang ni nak tackle dia, bila Aida bagi dia coklat, dia cakap "I will give to my kids". Macam la orang tak tahu dia belum kahwin(!).

Friday, December 10, 2010

Donut


Entah kenapa, saya memang nak tengok sangat cerita ni. Saya sangkakan cerita ni mesti best dan kelakar. Sangkaan saya meleset. Kelakarnya sikit sangat. Bestnya pun tak berapa.

Semakin nak habis, semakin sakit telinga saya dengan dialog dia yang terlalu banyak. Lepas dia, dia. Lepas dia, dia. Dia bagus. Tapi kalau lebih-lebih pun, tak menjadikan dia lebih elok.

Watak selembut sutera belum boleh buat mata saya meluat memandang tapi cara bercakap si Lita yang macam tu, buat saya nak cepat-cepat ke dapur buat jus karot(!) sebab karot yang saya beli banyak hari tu tak sentuh pun. Takut rosak pulak.

Yang paling penting, saya tak tau apa moral of the story. Membongkar rahsia kehidupan makhluk Allah yang macam tu ke apa? 

Watak dia yang membuat orang sakit telinga memberitahu kita yang dia berjaya membawa watak itu. Tak gitu?



p/s: lembut sikit gelaran Donut tu, selembut donut :-)

p/s2: saya memang hantu donut tapi bukan donut moden (J-Co/Big Apple/Dunkin Donut), saya suka donut kampung yang jual tepi jalan tu. errr...nama dia donut kampung eh? LOL

p/s3: apahal la pulak saya buat entry ni, saya pun tak tahu.

Thursday, December 9, 2010

Kenal Jangan Tak Kenal

Minggu lepas, saya telah dipaksa oleh Pak Teh saya untuk menyertai pasukan rombongan pengantin ke Trolak. Kami bertolak ke sana berempat. Pak Teh, Mak Teh, Farah sepupu saya dan saya. Yang kahwin tu pangkat ibu saudara dengan saya. Memang ramai ibu saudara saya yang lebih muda dari saya sebab ramai lagi nenek-nenek saudara saya yang masih hidup. Tapi mak-mak saudara ni taklah berapa rapat sangat sebab duduk pun berjauhan. Boleh dikatakan semuanya berkampung di Pahang. Jumpa pun hanya masa raya atau kenduri. Itu pun kalau diorang datang. Arwah nenek saya dulu memang rajin buat kenduri. Bila jumpa tu terasa kekoknya sebab jarang jumpa dan berkomunikasi.

Pertama kali saya berada dalam rombongan menyambut tetamu menantu. Macam best je sebab dapat duduk kat khemah dan meja makan beradab pengantin. Hiksss. Tuan punya badan entah bila la nak duduk khemah pengantin kan. Merasa orang punya pun dah rasa kembang semacam LOL. Kronik sungguh.

Ada jugak la klik sana klik sini tapi macam biasa la, dah sampai rumah baru tersedar yang diri sendiri sekeping pun tak ada.

Sebelum sampai ke rumah singgah - ni rumah yang nenek saudara saya sewa sebelum nak ke rumah pengantin lelaki. Dia tulis kat depan tu homestay - kami singgah Bidor untuk sarapan. Si Farah kata nak makan mi kicap. Apa benda la mi kicap tu agaknya. Rupanya gerai tu memang famous. Pagi-pagi lagi dah penuh orang sarapan walaupun masa tu hujan lebat. Dapat la saya rasa mi kicap. Yang ni, sebab makan sampai mak mertua lalu pun tak nampak (masalahnya mak mertua pun tak ada, macam mana nak nampak), jadi saya tak sempat klik walau sepinggan pun mi kicap. Nampak gayanya macam kena datang lagi je kat kedai dia. Tak ada la sedap sangat tapi lain sikit la sarapan pagi tu. Mi tu saya nampak ada kicap sikit, ada sambal sikit, ada daun bawang tabur, ada kerang rebus. Lepas tu di makan dengan sup dan ada bahan-bahan dalam sup tu macam bahan yong tau fu. Macam makanan cina. Rupanya gerai tu kepunyaan cina muslim.

Bukan tu sebenarnya saya nak cerita. LOL.

Ni sebenarnya.

Masa nak balik tu kami disekat oleh bapa-bapa saudara yang menyertai rombongan tu. Diorang suruh jangan balik dulu sebab ada seorang lagi bapa saudara nak datang dari Ipoh. Lama juga la tunggu akhirnya mereka sampai. Datang dengan anak beranak dia.

Ok, nak masuk cerita sebenarnya. Jeng jeng jeng. Anak dia ni perempuan, masa dia bersalam dengan Mak Teh saya, dia cakap "Mak Anjang, lamanya tak jumpa". Mak Teh saya jawab, "Ini bukan Mak Anjang. Ini Kak Huda".

Sepupu sendiri pun tak kenal. Sebab apa tau. Sebab mak ayah kita jarang sangat bawak kita berjumpa dengan saudara mara.

Itu sebabnya, walaupun duduk beribu batu jauhnya, kenduri kendara tu datanglah bawa anak-anak sekali. Hari raya melawatlah saudara mara. Sesekali berjalanlah ke rumah ipar duai, anak saudara. Bawa anak-anak sekali supaya diorang kenal siapa mak saudara atau bapa saudara diorang. Supaya mereka kenal siapa sepupu diorang.

Saya selalu bagitahu adik-beradik saya, kalau ada kenduri kendara, hari raya, bapa saudara atau mak saudara atau sepupu buat makan-makan kat rumah, jangan tak pergi kecuali kalau betul-betul tak boleh pergi.

Monday, December 6, 2010

Word Search


Tak habis lagi Sudoku, saya dah sibuk dengan Word Search pulak. Buat yang senang punya pulak tu. Memang suka buat kerja tak habis. Tapi saya pernah terbaca blog Nisah Haron tentang dia membaca beberapa jenis buku dalam satu masa. Dia kata kenapa pulak tak boleh sedangkan masa kita sekolah kita ambik 9 subjek, boleh pulak kita baca setiap buku tu sikit-sikit dalam satu masa sampai habis tahun. Novel atau buku lain pun kita boleh buat macam tu jugak.

Wahhh...gila kronik analogi yang saya nak buat ni. Maksud saya yang berkaitan dengan kata-kata Nisah Haron tu adalah, kalau Sudoku belum habis buat, tak bermakna tak boleh buat Word Search kekekeke.

Friday, December 3, 2010

Wednesday, December 1, 2010

Sukaaa....

Saya dapat sms ni dari The Star:

30/11 The civil service must be ready to accept public feedback and be responsive; era of Government knows best is over, says DPM Muhyiddin/STAR

Sayanglah kat DPM :-) Rasa nak hi-5 je dengan DPM.

p/s: saya pernah kerja dengan syarikat besan dia :-)