Monday, August 30, 2010

Kerja Depa La Tu...Siapa Lagi

Selepas berbuka puasa, sebelum ke masjid untuk tarawih, kami hairan tengok Pak Andak mundar mandir sambil pegang bungkusan plastik. Dalam plastik tu ada bungkusan surat khabar pulak. Dia menuju ke pintu. Pak Teh saya bertanya sambil seloroh; "Awak jadi imam tarawih ke malam ni?". Pak Andak saya jawab sambil ketawa; "Tak lah. Ada benda ni".

Tak lama selepas tu, dia letak bungkusan plastik tu atas riba Mas. Dalam hati saya tertanya-tanya apa benda la tu agaknya. Dah la berbungkus rapat. Lepas tu bungkus lagi dengan plastik. Tiba-tiba Pak Tam saya keluar dari bilik selepas solat maghrib dan bertanya pada Pak Andak saya; "Din, awak dapat banyak tak tahun ni?". Uiiihhhh...saya bertambah curious ok. Apa "benda" yang dapat ni? Pak Andak saya jawab; "Tu...dah bagi kat Mas". Yang si Mas pulak buat muka "eh-apsal-letak-benda-alah-ni-atas-riba-aku-mana-aku-nak-letak-muka-ni-malu-wooo".

Baru la kepala saya dapat tangkap. Terus saya cakap; "Weiii...mana boleh ni. Musa Hassan kata kat pasar ramadhan pun tak boleh jual. Salah ni. Apa lagi Kastam Kuantan bagi kat Polis Kuantan. Tolong pergi ambik handphone kakak dalam bilik tu. Nak buat report sikit".

Riuh rendah diorang gelak. Lepas tu Mak Teh saya cakap; "Itu baru sikit, polis yang kat Perlis tu ketua segala mercun. Kalau dia yang balik, tak ada RM500 punya mercun, jangan panggil dia Sarjan Khairuddin".

Itu Pak Lang saya. Seplastik besar sekali bawak balik.

Heeeeeeeeeee.....itulah ketua segala ketua. Patutlah si Mas buat muka macam tu. Rupanya dia dah tau atas riba dia tu ialah barang salah.

Memang betullah. Polis dan kastam yang rampas, diorang jugak yang bagi kat saudara-mara, jiran tetangga main. Habis tu macam mana la tak ada yang putus jari saban tahun.

Kat kawasan rumah saya, hari pertama ramadhan, sebaik saja pakcik yang duduk atas kerusi tu umum esoknya puasa, terus ada bunyi mercun. Terperanjat jugak. Bukan terperanjat sebab bunyi mercun tapi terperanjat pasal laju sungguh depa ni dapat supply mercun.

Friday, August 27, 2010

I Am Off To Chenor

Diorang ni cuti menyebabkan saya rasa malasnya la sangat nak buat kerja. Terasa macam nak dekat sangat dengan raya. Entah apa-apa. Masalahnya bukan kita je yang rasa macam tu. Yang tak raya pun saya tengok lembik semacam je. Macam tak ada orang kat pejabat bila buzz kat tempat duduk masing-masing. Aiiii...siapa yang puasa ni?

Yang bestnya yang tak raya pun bercuti sakan. Ambil cuti sampai seminggu mengalahkan orang yang puasa dan raya. Yang dah booking cuti sejak awal tahun ni tak dapat cuti macam yang dah di booking. Bengang? Tipu kalau saya cakap saya tak bengang. Dah raya kita, kita nak la cuti. Yang diorang ambil cuti tu buat apa? Nanti raya diorang, dah memang sah-sah diorang cuti panjang. Kita tak boleh cuti bila raya diorang sebab kalau kita cuti tak ada orang kat ofis. Adil tak? Mungkin diorang lupa yang doa orang teraniaya ni dimakbulkan Allah.

Esok saya akan balik Chenor dengan Pak Teh saya.. Balik rumah Mak Andak. Sejak arwah Aki dan Wan tak ada, dah jarang balik Temerloh. Sebab kat sana ada monster bagi bapa-bapa saudara saya. Mungkin ke kubur arwah Wan, Aki dan Mok De saya. Orang kampung gotong royong bersihkan kubur dan baca Yaasin di kubur minggu ni.

Tak sabar nak sampai Chenor :-) Jom...jumpa kat Pekan Sari Temerloh :-)

Doakan perjalanan kami. Jumpa lagi minggu depan ye :-)

Nuzul Quran

Ehsan gambar. Terima kasih.

Salam Nuzul Quran. Lepas ni kita tunggu Lailatul Qadar pula ye :-)



Thursday, August 26, 2010

Diari Ramadhan


Jenuh jugak saya nak mengikut diari ni. Kat dalamnya ada senarai aktiviti yang kita harus buat semasa bulan Ramadhan. Macam checklist. Kita dah buat aktiviti tu, kita tanda lah. Lupa pulak makcik nak snap sebelah dalamnya.

Sebenarnya diari ni bermula dari bulan Rejab tetapi saya dapat hadiah ni pada bulan Syaaban. Jadi, bulan Rejab memang kosonglah diari ni.

Ada jugak yang "rongak-rongak" senarai saya dalam diari ni. Tak terikut kadang-kadang. Saya tak paksa sangat. Ada kala saya paksa jugak bila graf saya mulai menurun.

Didalamnya bukan setakat senarai aktiviti yang telah disusunkan untuk kita tapi ada jugak firman-firman, hadis-hadis dan cerita-cerita lainnya.

Senarai aktivitinya kalau kita perhatikan adalah sesuatu yang selama ni kita anggap remeh, terlepas pandang dan buat tak tahu. Atau kita tahu tapi kita tak perasan. Contohnya, kalau bulan tak puasa, bila azan masa tu la kita baru sibuk nak capai tuala nak mandi. Kalau bulan puasa, masa tu kita tengah sibuk nak makan kan? Tapi kita lupa nak jawab azan dan berdoa selepas azan.

Betul ke kalau kita nak jawab azan, azan tu mestilah yang sedang berkumandang kat masjid atau surau? Yang kat dalam tv tu hanyalah rakaman dan dah direkod siap-siap dan bukan secara langsung. Wallahu'alam. Saya cuba tanya Pakcik Google kalau-kalau ada jawapan dari mana-mana ustaz. Tak jumpa. Insya-Allah, saya cuba tanya ustaz yang datang ceramah kat pejabat saya. Nanti saya kongsikan kat sini.

Wednesday, August 25, 2010

Tak Teringat Pulak....


Konon-konon nak ambil angin pagi. Sambil bawa kamera tu. Entah apa kena-mengena ambil angin pagi dengan kamera tak tau lah tu. Macam jurugambar profesional je gayanya nak snap sana sini.

Tiba-tiba saya ternampak dia tu. Ketara sangat sebab betul-betul tengah jalan yang sempit tu. Saya snap sekeping.

Lepas tu saya jalan.

Dah jauh, baru saya teringat kenapa saya tak alihkan dia ke tepi?

Tuesday, August 24, 2010

Tak Tahu Lah Kenapa....

Terdengar-dengar kat telinga macam alarm handphone dah berbunyi. Tengah mamai-mamai tengok jam kat handphone sambil snooze alarm. Hah???....dah pukul 5.04 am? Saya kunci alarm pukul 4.30am sebab ada "mesyuarat sikit dengan Maha Pencipta". Dah terjaga pukul 5 lebih, maknanya terlepas la mesyuarat. Mesti saya kena demerit punyalah.

Dah bangun, saya terfikir-fikir...sebenarnya pukul berapa ni? Masa tengok jam kat handphone tadi tengah mamai. Saya keluar bilik, tengok jam kat dinding. Haaa? Lagi 10 minit pukul 12am? Biar betul. Saya tengok pulak jam kat Astro decoder. Eh, betullah. Lagi 10 minit ke pukul 12am. Habis yang aku tengok jam kat handphone tadi pukul 5.04am tadi tu apa?

Saya masuk bilik balik, lepas tu senyum sorang-sorang. Nak "mesyuarat dengan Maha Pencipta" punya pasal sampai termimpi-mimpi konon-kononnya "dah-terbabas-nak-bangun-4.30am-tapi-terbangun-5.04am" la tu.

Mengigau!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Monday, August 23, 2010

Duduk Lagi Dalam Gelas.....

Eh cantiknya setem ni. Setem berapa sen ni? 60 sen? Eh 70 sen pun ada. Sejak bila pulak keluarnya setem-setem ni? Tak tahu pun. Dialog dengan diri sendiri ketika menerima kad raya.


Klik gambar kalau nak besarkan. Kalau dah klik pun, gambar dia tak ada la besar sangat. Kecik jugak :-)

Sumber gambar dari Pakcik Google. Cantik-cantik setem ni. Semua gambar bunga.

Saya buka laman web Pos Malaysia. Ya Allah...ketinggalan betul. Duduk lagi dalam gelas. Patutlah kad raya yang saya terima semuanya guna setem 60 sen dan 70 sen. Rupanya dah ada tarif baru. Elok je Pos Malaysia kenakan sebelum puasa ye.

Saya adalah penggemar setem yang tak berapa nak tegar.

Saya siap konfiden lagi nak hantar kad raya guna setem 30 sen. Banyak dalam wallet saya ni.

Saya nak cepat. Nak balik. Entah macam mana la rupanya entry ni. Selamat berbuka ye.

Updated

Petang semalam masa saya tengah masak, baru saya terfikir kenapa Solehah kata dia terpaksa keluarkan duit setem lebih untuk hantar semua oder. Saya oder novel kat bawah ni dari dia. Terima kasih dik.


Bukan Semua Yang Ambil Kursus Memasak Tu Pandai Kisar Cili

Tajuk paling panjang yang saya pernah buat.

Persoalannya, betul ke? Bila ingat-ingat balik nak tergelak pun ada.

Bukan semua cara kita memasak di dapur rumah kita sendiri boleh diterima oleh orang lain terutama kalau kita memasak di dapur orang lain di rumah orang lain. Betul? Betul. Ini pengalaman saya sendiri.

Dulu masa saya kecik-kecik, bila cuti sekolah je kena eksport balik kampung. Bila duduk kat kampung kenalah jadi perempuan melayu terakhir. Waktu tengahari memang wajib masuk dapur. Jangan berangan nak tengok je. Tugas asasi mesti kena kupas bawang, kupas kentang, siang sayur dan macam-macam lagi kecuali pegang senduk.

Dah kupas kentang, kenalah potongpotong kan? "Wan, ni nak potong macam mana?", "Wan, sayur ni nak potong lurus-lurus ke serong-serong?" Nasib baik la tak ada siapa pernah cakap, "Kakak ni semua nak tanya, tak pandai masak ke?". Kalau ada yang cakap macam tu memang saya sekeh-sekeh kat situ jugak. Bukan tak pandai potong ke apa - tak nak mengaku tu - tapi citarasa setiap orang berlainan. Terutama sekali orang lama macam arwah Wan saya. Kalau saya, kentang tu memang tak ada cara lain dah nak potong kalau nak buat gulai melainkan potong empat je. Tapi Wan saya tak, kalau masa lemak, dia nak kita potong panjang-panjang. Kalau masak kari, potong dia cara lain pulak. Tu pasal la semuanya saya kena tanya. Kalau tersalah potong, alamatnya akan kedengaranlah rumah siap pahat berbunyi, "tu la potong macam ni, jadi tak sedap dah". Macam mengarut je bunyinya. Kentang tu, potong macam mana pun rasa dia tetap kentang. Takkan jadi rasa keledek. Wan dah tak ada. Ni kira bukan mengata kan? Takut ni.

Itu baru kentang. Belum lagi benda lain. Banyak sangat barang-barang masakan dalam dunia ni. Kalaulah semuanya salah potong menyebabkan rasa makanan yang dimasak tu terus jadi tak sedap, Chef Wan tak adalah program sendiri dalam saluran AFC.

Lagi satu contoh, ada orang suka siang kacang panjang tu serong-serong, buang kepalanya kalau nak goreng. Tapi ada yang tak buang kepala dan potong lurus-lurus. Alasannya sama. Tak sedap kalau potong serong-serong tu. Ya Allah...tak sedap tang mana? Sama jugak rasanya kacang panjang kan? Ada ke kalau potong serong-serong tu rasanya jadi macam kacang bendi? Bengong tau....

Sebenarnya tak ada sebab lain. Sebabnya adalah lain orang, lain caranya. Apa yang patut kita buat, terima orang lain seadanya. Tak perlu ubah kalau tak memudaratkan atau pun memang betul rasanya akan lari.

Apa kena mengena pulak dengan kisar cili kan? LOL

Si Fakhrul ni, "Kak, macam mana ni? Adik tak tau". "Laaa...awak kan ambil kursus memasak, takkanlah kisar cili pun tak tau".

Sebenarnya dia bukan tak tau tapi dia tak tahu citarasa abang dia. Abang dia suruh dia kisar cili nak masak, dia teragak-agak nak letak air banyak mana. Dia takut kang abang dia kata cair sangat la, pekat sangat la. Ketiga-tiga adik lelaki saya semua pandai masak sejak kecil. Mereka masak lebih sedap dari saya. Si Duan - papa Alya - dia kalau masak nasi suka letak air banyak. Dia suka nasi tu lembik. Yang saya pulak tak suka nasi tu lembik. Dah tu macam mana? Kakak la kena mengalah kan? Telan la jugak sebab memang nasi yang lembik tu kalau masuk mulut laju je berlari masuk ke kerongkong.

Panjang lagi kalau nak tulis pasal cara kita masak dan cara orang lain masak ni. Biasalah, orang tak banyak cakap, dia memang banyak cakap kalau bukan depan orang. Mungkin saya cerita lagi dalam entry lain.

Sunday, August 22, 2010

Friday, August 20, 2010

Aduhai Dhuha II

Sejak bermulanya puasa, surau pejabat saya ada ceramah setiap hari kecuali hari Jumaat dari jam 1pm hingga 1.45pm. Selepas itu solat berjemaah. Alhamdulillah, tahun ini pejabat saya semakin baik dari tahun lepas kerana ahli jawatankuasa surau berinisiatif untuk mengendalikan ceramah.

Sebab?

Sebab organisasi saya majoritinya bukan melayu islam. Mereka tu memang ramai. Beribu-ribu. Kami ni berapa kerat je. Itu pun yang datang ceramah yang berapa kerat ni je la. Kalau yang berapa kerat ni, separuh daripadanya tak ikut dengar ceramah, tinggallah berkerat-kerat je. Jadi, bila ada ceramah yang macam ni, saya teruja. Dah lama sangat tempat yang saya kerja tak ada makanan rohani. Beruntunglah sesiapa yang bekerja dengan organisasi yang majoritinya melayu islam. Boleh adakan ceramah setiap hari walaupun bukan bulan puasa. Dulu masa kerja kat organisasi yang majoritinya melayu islam, ceramah diadakan setiap hari khamis. Terus-terang saya rindukan saat itu.

Semalam ustaz Zamri IKIM yang datang bagi ceramah.

Disebabkan memori saya tak bertahan lama, saya tak ingat semua yang dia cakap tambahan saya tertinggal buku nota. Semalam memang hari "meninggal". Tinggal handphone, tinggal buku nota.

Salah satu yang saya ingat ustaz cakap, haiwan juga berpuasa. Contoh, beruang. Kalau dia luka, dia takkan makan selagi luka dia tak sembuh.

Ayam. Kalau dia nak mengeram, letaklah semangkuk beras depan mata dia, dia takkan makan.

Kita? Malu kat haiwan kalau tak puasa. Puasa awal bulan je. Dah hujung bulan mula tak puasa. Ditambah makan depan anak-anak. Memang tak ada sifat malu sesama manusia. Dengan Allah apatah lagi. 

Selain dari itu, puasa juga adalah satu kaedah perubatan yang berkesan. Saya pernah cuba mengubati batuk yang saya alami selama hampir sebulan hanya dengan berpuasa. Dalam masa 3 hari je, dengan izin Allah, ia beransur baik. Deritanya hampir sebulan. Dah macam-macam jenis ubat ditelan. Saya pernah cerita tentang ini kat "rumah" saya yang lagi satu :-)

Lagi satu, ustaz cakap setiap sendi kita dijaga oleh malaikat. Tiada satu anggota pun yang boleh lari daripada disoal di sana. Sendi pula, ia boleh dikuatkan dengan Dhuha. Jadi, jangan tinggal Dhuha.

Lagi 5 minit nak masuk waktu Dhuha. Jom.

Thursday, August 19, 2010

Tinggal Lagi

Pernah tertinggal handphone kat rumah? Sama ada nak keluar pergi kerja atau berjalan-jalan?

Saya? Pergi berjalan-jalan, tak pernah. Pergi kerja, pernah.

Selalunya tertinggal sebab tengah charge. Charge pulak kat atas tilam sebelah bantal. Dihalang pulak pandangan dengan kabinet kecil. Sudahnya, bila tutup suis utama bilik, tak nampak handphone sebab terhalang oleh kabinet tu. Dan, tertinggallah handphone tu kat rumah adanya.

Sekarang ni handphone adalah sahabat karib semua manusia. Ye ke? Bergantung kepada siapa yang pakai la kot. Kalau McNa yang pakai, harus sms yang dihantar hari ni, dia baca raya tahun depan.

Ada orang tak sah kalau tak ada handphone kat tangan. Macam rasa ada kekurangan. Resah je. Sanggup patah balik pergi ambil.

Saya pulak, bukan handphone yang buat rasa kekurangan tetapi jam tangan. Rasa macam tak pakai baju kalau jam tangan tertinggal. Jam tangan sebahagian dari pakaian saya. Tapi bila dah sampai rumah, rasa rimas pulak pakai jam tangan. Pernah satu ketika, saya ada jam tangan spare dalam handbag.

Berbalik pada handphone, saya akan buat tak kisah pada handphone bila saya berada di pejabat. Kalau di rumah, saya buat tak kisah sangat sebelum masuk tidur. Bila dah mula nak masuk tidur, barulah saya sibuk nak sms sana sini tanya khabar kawan-kawan la, tanya itu la, tanya ini la.

Sebabnya?

Masa kat pejabat saya tak ingat semua benda tu sebab saya dah mengadap komputer. Sebelum tidur pun saya tak ingat sangat nak tanya khabar ke apa ke sebab saya mengadap tv atau baca novel atau buat apa saja.

Handphone ni kita terasa sangat kepentingannya bila kecemasan atau masa kita betul-betul nak guna. Dulu la, sebelum pakai handphone. Sekarang ni, tak ada pulak "masa kecederaan" tu.

Kejadian yang membuatkan saya mula beli handphone bila saya nak telefon mak saya nak bagitahu dia yang saya sampai lambat ke rumah sebab tak ada bas. Dan masa tu adalah bulan puasa(!) Bukan sekali tapi banyak kali. Bila dah ada handphone, tak ada pulak kejadian lambat sampai ke rumah. Sebab sekarang dah ada LRT. Dulu naik la bas tu. Tunggu la sampai berjanggut. Bergayut pun bergayutlah.

Gloss: Makcik membebel pagi-pagi sebab hari ni makcik TERTINGGAL handphone kat rumah. Tengah charge atas tilam sebelah bantal, dihalang oleh kabinet kecil. Tutup suis, tak perasan kawan tu ada kat situ. Patutlah masa keluar rumah, makcik termenung kejap depan pintu sambil terfikir-fikir: "kenapa rasa tak sedap hati ni? apa benda yang tertinggal?". Dah keluar baru teringat tapi tak kuasa nak patah balik. Dah tau kan kenapa makcik membebel pagi-pagi? Hehehehe

Gloss II: Yours truly buat tak kisah mungkin sebab tertinggal dalam bilik kot. Kalau tertinggal kat ruang tamu, mahu menggigil kalau tak patah balik. Tak ada, tak ada sms cintan-cintun. Semua dah delete secara kejam. Tak satu pun tinggal.

Gloss III: Ini bukan pertama kali tertinggal handphone :-) makcik kan dah tua LOL

Wednesday, August 18, 2010

Tambah Kosong Dua Kali Kat Belakang

Tak reti macam mana nak mula ayat pulak. Entry ini. Keputusannya dah keluar. Alhamdulillah dah lulus tapi tak puas hati.

Kenapa pulak? Kau bukannya belajar pun. Kalau belajar pun saat-saat akhir. Kau ingat kau belajar macam tu, kau boleh dapat markah banyak ke? Kau ingat orang nak bagi sangat markah banyak kat kau kalau soalan objektif pun banyak salah.

Ala, jangan la marah aku. Aku tak puas hati sebab markah aku bermula dengan nombor 7 bukan 8 atau 9...iskkk.

Itulah markah untuk orang tak ulangkaji macam kau. Nasib baik bermula dengan nombor 7. Kalau 6, 5, 4, 3, 2 atau 1? Tak bersyukur kau ni.

Eh kalau bermula dengan nombor 1 aku suka. Tambah 0 dua kali kat belakangnya hahahaha...

Kaunter Informasi

El, siapa nama bapak (kasar sikit bunyinya tapi inilah kebiasaan kita kan?) si polan si polan?

El, apa surname budak yang hantar email bla bla bla?

Kalau nak ikutkan, pelik kan kita sibuk tanya nama bapa orang lain. Tapi kat ofis ni, itu wajib kalau nak hantar email kat seseorang.

Sebab?

Nama staf dalam Global Address List bermula dengan nama bapa atau surname.

Reta, aku tau kau faham apa maksud aku hikssss~~~

Kalau orang tak faham, apa hal pulak la dia ni dok sibuk tanya bapa orang ni? Orang selalu kata "oit, nama mak ayah jangan buat main eh". Tapi ni bukan untuk buat main. Ni memang betul-betul nak guna ni. Kalau tak tau, berakhir dengan tangan kejang mencari nama orang tu kat Outlook.

Paling pening bila kita nak cari nama bukan melayu. Dah la nama dia tu memang panjang, ditambah dengan nama yang dia sendiri tambah yang tak ada dalam kad pengenalan, lagi haru. Dan mereka ini memang sangat ramai.

Selalunya, makcik ni la yang jadi tukang ingat nama bapa diorang ni untuk kegunaan orang-orang dalam ofis ni. Saya ni kena jadi kaunter informasi kot, bukan orang LOL.

Tuesday, August 17, 2010

Email Pagi Isnin

Semalam tiba-tiba dapat email dengan subjek "Pagi Isnin". Hoh...apa cerita pulak ni kan. Si Razlan. Adik ni sesekali muncul dengan email dia: "akak apa khabar?", "akak tengah buat apa?", "akak, tadi saya terserempak dengan Nurul Syuhada lagi" (pengacara Majalah 3 tu...dia dah berkenan), "akak dot dot dot", "akak, tot tet tot tet". Hehehe...best ada adik macam dia ni. Budak baik ni. Hari minggu memerap kat rumah macam anak dara. 

Email dia.

Lan: Akak buat apa?
Saya: Tengah tulis blog. Shhh...jangan bagitahu bos (padahalnya bukan satu ofis pun hehehe)
Lan: Chronicle of Ebony And Ivory Of Life ke? Akak tak rasa nak jadi penulis ke? Rasanya ada bakat saya tengok di situ

The rest is history.

Kawan-kawan saya ramai tak tahu yang saya sangat suka membaca dan menulis merapu-rapu-meraban. Lagi satu saya sangat suka ambil apa-apa kelas untuk belajar. Hidup saya tak meriah kalau saya tak buat apa-apa. Mungkin sebab saya masih sorang kot. Kalau dah lebih dari sorang esok lusa, mahu tak menang tangan kalutnya hidup saya.

Membaca. Seingat saya novel pertama yang saya baca adalah Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Mungkin sebab itu je satu-satunya novel yang ada kat rumah saya yang di baca oleh mak saya. Saya galak membaca novel bila umur saya mencecah 18 tahun semalam. Mungkin sebab masa tu ada RM lebih. Masa sekolah manalah nak dapat RM. Keluarga bukannya berada. Novel tau. Bukannya buku-buku ilmiah. Buku-buku ilmiah saya mula baca 2, 3 tahun lepas je.

Menulis. Setakat menulis sikit-sikit macam ni bolehlah. Kalau nak tulis yang serius atau kreatif, rasanya otak saya setakat kreatif menulis "kisah benar saya" je la kot. Orang nak tulis novel kreatif mana boleh tulis kisah benar je. Dah nama kreatif. Kenalah tulis secara kreatif. Banyak sangat alasannya kan. Si Lan kata: "Akak kena buat aje takyah fikir-fikir,........satu pelaburan tu, mana tau mula-mula jadi best selling lepas tu ada pulak orang nak buat jadi filem, lepas tu saya dapat sorang lagi member yang jadi artis....dasat tu".

Ewahhh....itu yang dia fikir. Jauh ke laut perginya.

Kawan kami yang jadi artis yang dia maksudkan tu ialah si Jipie, vokalis kumpulan Pesawat. Dulu masa satu pejabat dengan Jipie boleh dikatakan hari-hari main teka-teki dengan dia. Dia pulak selalu je kat bilik server sebelah tempat duduk saya. Hingar bingar kawasan tu. Tak tau lah si Lan dengan kawan-kawan dia boleh buat kerja ke tak hehehe.

Kelas. Yang ni buat saya berfikir dari sekarang. Kelas tilawah yang saya ambil sekarang mungkin akan selesai dalam beberapa semester lagi. Lepas tu saya ambil kelas apa pulak? Tak tahu lah. Dalam kepala ni ingat nak ambil kelas yang senang je. Yang susah tak mahu. Teruk betul.

Monday, August 16, 2010

Mengarut Di Bulan Puasa

"Bayangkan satu hari kita jumpa balik lepas 5 tahun berpisah. Kita habiskan masa seharian borak-borak kat dalam bilik awak. Kita cerita pasal hidup masing-masing selama kita tak jumpa. Tiba-tiba telefon rumah awak berbunyi. Awak pergi turun bawah nak jawab call tu dan janji dengan saya akan datang balik jumpa saya kat bilik awak. Bila awak angkat je telefon tu, rupanya member awak yang telefon. Dia bagitau yang saya mati sebab eksiden pagi tadi. Apa yang awak nak buat? Sanggup tak awak naik balik bilik awak macam apa yang awak janji tadi? Kalau kita sahabat, tolong reply mesej ni dengan jawapan awak. Sanggup tak awak naik bilik?"

Sms ni saya dah taip balik dalam bentuk yang boleh di baca. Kalau saya tak taip balik, memang juling biji mata dibuatnya.

Ini sms yang saya terima dari sepupu saya. Dia hantar dalam pukul 9 malam. Kira awal lagi tu kan. Datang pulak bijak saya, saya pun forward sms ni kat kawan-kawan saya sekitar pukul 11 malam. Masa tu saya dah nak tidur dah. Biasalah, yours truly selalunya belek-belek handphone sebelum tidur selepas set alarm. Jawapan daripada kawan-kawan saya membuatkan saya terkekeh-kekeh sorang-sorang dalam gelap. Nak tidur pun susah hehehe.

Saya jawab kat sepupu saya: Sanggup. Dalam mimpi.

LOL.

Ini adalah jawapan kawan-kawan saya mengikut turutan siapa yang reply dulu. Jawapan mereka ni pun saya dah taip balik dalam bahasa melayu baku (baku la sangat):

Suzi: Tak sanggup. Takut walaupun dah janji huhuhu

Zita: Eeiii...idok....ngerinya. Kita sahabat awak kan...sebab kita reply message ni. Tapi awak tak marah kan kita tak naik balik jumpa awak kat atas tu. Ya ampunn zasss cha-alif-buuuttt...huhuhu. Apa punya cerita la akak ni malam-malam buat seram je.
(Saya selalu suka dia ni kalau reply. Suka buat saya gelak sakit perut hehehehe)

Maz: Kalau saya, saya naik balik.

Mai: Lu pikir la sendiri...

Nani: Ouf..definitely i'll not goin back upstairs. Agpown, janji ngn antoo leh pkai k? (Lagipun, janji dengan hantu boleh pakai ke?)
(Ni sepupu saya jugak. Tengoklah dia reply. Kalau orang zaman dulu ni, memang tak faham apa dia taip. Perkataan budak-budak sekarang. Bukan nak memendekkan ayat. Memanjangkan perkataan lagi ada. Ishhh....sensitif betul saya dgn sms yang taip perkataan merapu ni hehehe. Kalau tengok saluran @15 lagi pening)

Ajak: Azan dulu siap-siap...hahahaha

Mimi: Akak, susahnya nak baca! Saya tak faham tulisan ringkas. Saya delete ni...
(Yang ni saya nak tergelak jugak. Nak delete pun nak mintak kebenaran)

Leez: Takut ah! Horror movie siot!

Nana: Sanggup

McNa: Siapa pulak yang nak jadi jembalang ni? Naik je la nak kenal lagi rapat.

Paklong: Naik je la

Kak Ja: Wei takut jugak baca sms seram awak semalam. Sori late reply. Semalam tidur awal. Baru baca pagi ni.

Aduhh...saya yang taip ni pun tak tahan nak gelak. Sorry ye, entry mengarut bulan-bulan puasa ni LOL.


Rahmat Allah, Murka Allah

Hari tu saya sempat menonton Semanis Kurma dengan topik "Seronok Puasa & Puasa Seronok". 

Saya sangat suka dengan apa yang Ustaz Jazlan Abdullah katakan:

"Allah berikan rahmat dalam ketaatan kita dan Allah duga kita dalam kemurkaanNya."

Lebih kurang macam tu lah kalau tak silap saya. Memori saya tak bertahan lama sejak dah masuk usia gangsa ni :-)

Rahmat Allah yang tersembunyi dalam ketaatan kita bila kita melakukan kebaikan tanpa kita sedari di dalam solat, di dalam puasa, di dalam sedekah kita dan di dalam ibadah dan kebaikan lainnya.

Kita lupa Pencipta kita bila hidup dalam kemewahan yang Dia berikan. Kita tak sedar yang Allah murka pada kita kerana sikap kita yang buat endah tak endah suruhanNya. Inilah istidraj namanya.


Sunday, August 15, 2010

Aduhai Dhuha

Imam Muslim merekodkan Rasulullah berkata:

"Pada tiap-tiap sendi daripada kamu itu adalah sedekah (ada rekod menyebut bilangannya adalah 360). Maka tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, menegah kepada kemungkaran adalah sedekah, mencukupi semua ini dengan melakukan dua rakaat solat Dhuha."

Saturday, August 14, 2010

Tak Mahu Dah....

 Serius sedap-sedap masakan pakcik ni

 Pekerjanya sangat ramai. Yang kat depan gerai tu, silap-silap bukan pembeli tapi pekerja dia. Saya wonder berapa la agaknya dia bayar gaji pekerja-pekerja dia sedangkan lauk dia tak ada lah berkawah-kawah

Yey! Saya dah berjaya ke bazar ramadhan. Tapi bukan kat kawasan rumah saya. Tapi di kawasan rumah adik saya di Danau Kota. Lebih tepat lagi di kawasan Uptown Danau Kota. 

Perghhh....manusia. Bukan sungai lagi dah. Lautan(!)

Memang patut pun saya kurang suka ke bazar ramadhan. Saya dah agak dah. Memang sesak. Tapi hari ini saya terpaksa sebab Alya paksa saya jaga dia kat rumah papa dia. 

"Maklong, maklong boleh datang rumah papa tak esok? Papa ada kerja sikit esok. Jadi maklong datang la jaga Alya".

Demand tu nak suruh jaga dia. Selama ni tak pernah pun telefon suruh jaga. Selama ni maklong yang offer diri nak jaga dia kalau papa dia ada kerja. Siap papa dia tinggalkan dia sorang-sorang kat rumah dalam bilik mengadap komputer sampai lebam. Sedar-sedar dah malam gelap kat luar. Masa tu baru dia kelam kabut telefon papa dia. "Papa, gelap la kat luar. Alya takut". Bijak betul anak dara sorang ni. Bukannya dia nak pasang lampu. Yang papa dia pun satu, tinggalkan budak tu sorang-sorang. Memang budak tu ghalit main komputer tak keluar-keluar dari bilik tu.

Oh...iklan kejap :-)

Bazar ramadhan Uptown Danau Kota. Nak lalu pun tak boleh. Tersekat. Macam dalam botol. Bukan macam dalam tin sadin lagi dah. Nak tergelak pun ada bila ada sorang mamat ni cakap, "Haaa...ni macam mana kira nak lalu ni. Menyenget macam ni pulak ke?", sambil dia sengetkan badan dia macam ketam berjalan. 

Sampai kat gerai air pulak. "Haaa bang air bang, air kak. Boleh rasa dulu. Takde hal".

Yang ni saya nak tergelak besar. Memandangkan orang sangat ramai, saya gelak sikit je hahahaha!!!! Korang ni pun, masa ni la nak bagi orang rasa dulu. Masalahnya tak ada siapa pulak yang nak rasa tu hahahahaha!!!!

Gambar kat atas tu, Alya yang snap. Sempat snap gambar tu je. Tu pun gerai yang hujung sebab kat situ orang dah kurang. Dari jauh saya nampak ada yang bawak kamera dSLR. Mesti kaki fotografi tu.

Gloss: Rasa serik pun ada nak ke bazar ramadhan

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Kisah sebelum waktu Dhuha

Saya hendak sangat bercerita tentang puasa tetapi saya tak berkesemptan. Harapnya saya belum terlambat mengucapkan Selamat Berpuasa untuk semua. Maaf andainya saya pernah mencalarkan hati sesiapa sama ada saya sedar atau pun tidak :-) Saya percaya banyak blog yang bercerita tentang puasa sekarang dan bazar Ramadhan :-) Setakat hari ini saya belum ke mana-mana bazar Ramadhan. Tak tahulah esok lusa.

 Di pagi hari pertama Ramadhan. Kisah selepas waktu Dhuha.

Tahun in adalah tahun pertama saya mengambil cuti sempena menyambut Ramadhan. Saya perlukan waktu untuk diri sendiri setelah Ramadhan sebelum-sebelumnya yang saya lalui sama sahaja. Saya mengambil cuti sehari sebelum Ramadhan hinggalah sehari selepas 1 Ramadhan. Tanya saya apa perasaan saya. Macam  Belanda. Dah diberi betis, mahukan peha. Saya mengharapkan saya dapat bercuti sebulan di bulan Ramadhan sahaja. Banyak benda saya boleh lakukan. Tak terucap dengan kata-kata.  

 
 Rimbunan pepohon peneduh suasana

Hari ini hari ke berapa kita berpuasa? Masih awal lagi? Saya rasa masa berlari lebih laju dari cahaya. Semoga Allah mengurniakan istiqomah dalam setiap ibadah kita. Tambahkan ranting dan bunga di dalam solat kita agar lebih cantik, insyaAllah.
 

Friday, August 13, 2010

Cik Siti


Dah lama dia tak datang rumah saya. Kalau datang pun, saya tak undang. Semakin berani mereka ni. Masuk dalam tong sampah saya. Bila saya bukak lampu dapur, tak lari macam selalu. Duduk je dalam tu. Bila saya campak sampah, baru mencicit nak lari. Yours truly buat tak tau je.

Esoknya.

Yours truly nampak pintu gerobok terbuka. Siapa yang buka? Dia ada lagi ke? Tak boleh jadi.

Makanya.

Yours truly telah memasang strategi peperangan tanpa darah. Kadbod memang dah sedia ada dalam kabinet. Gam pun ada. Umpan pun ada jugak. Boleh buat senjata nuklear ni.

Jadi.

Tidurlah wahai permysuri. Eh macam kenal je "permysuri" tu. Ok, tukar.

Tidurlah, wahai permaisuri. Lagu siapa ni ye?

Lagu Faizal Tahir pulak. Selamat malaaaaaam.

Maaflah Cik Siti. Saya bukan suka-suka nak "tidurkan" awak. Saya takut mudarat kepada diri dan kesihatan saya seandainya awak tinggal serumah dengan saya.

Hari tu, mak ke ayah dia, tiba-tiba terjelepuk je kat beranda dapur saya. Entah dari mana datangnya. Bila saya fikir-fikir balik, mungkin disebabkan saya ada sembur racun serangga kat tong sampah saya sebab banyak semut. Mungkin kawan tu ada dalam tu kot. Saya tak perasan. Tapi kalau ye pun kenapa dia tak lari laju-laju ye?

Dia serah diri kot.

FM Saya :-)

Sila buat-buat tak nampak kat Encik Penyapu kat tepi tu ye. Masa ambik gambar ni tak perasan dia nak mengendeng jugak.

Saya memang minat fridge magnet dari kecik tapi tak mampu nak beli sendiri. Masa tu masih sekolah. Duit yang mak bagi cukup-cukup untuk meneruskan kehidupan. Sampai dah kerja pun, tak mampu lagi sebab kena sara adik-adik pulak.

Bila dah keadaan mengizinkan, dengan lajunya saya mendapatkannya satu-satu. Tapi sebahagian besar koleksi saya adalah daripada pemberian orang sekeliling yang tahu minat saya. Ini belum penuh satu pintu sampai bawah. Kira masih sikit ni. Saya bercita-cita untuk memenuhi keliling peti ais ini.

Satu je masalahnya. Dapur sempit. Selalu terlanggar peti ais. Bila terlanggar peti ais, benda yang lekat-lekat kat badan dia pun sensitif sekali. Bila sensitif, diorang jatuhkan badan diorang ke lantai. Berderai la jawabnya. Setakat ni ada yang patah kepala, serpih sana, serpih sini. Tapi yours truly gagah gam kan balik kepala yang patah tu.

Kalau dah penuh keliling peti ais ni, takkan saya nak kena beli peti ais lain pulak kan? Nampaknya saya kena cari white board la pulak :-)

Pijak-Pijak


Dulu berangan nak ada benda ni kat rumah. Kononnya nak legakan tapak kaki. Tapi bila dah ada, jadi perhiasan. Jarang sangat kena pijak. Tersepak, tersadung ada la. Sakit ya amat.

Monday, August 9, 2010

Karnival Jom Makan Buah Di Putrajaya

Entah apa mimpinya tiba-tiba adik saya ajak pergi ke Putrajaya setelah saya hantar email yang ada brosur tentang karnival ni. Kanival ni berlangsung 2 hari sabtu dan ahad lepas. Sama hari dengan PC Fair. Kami ke Putrajaya petang ahad lepas asar. Pergi ditemani Encik GPS memang tak sesat. Sebelum tu adik saya tanya sama ada saya tahu ke tempat tu atau pun tak. Tanya kakak dia ni, apa yang kakak dia tahu. Dalam kepala kakak dia nak makan durian je.

Sampai sana, kami terus ke khemah makan buah. Kena bayar ye nak makan situ. Dewasa RM15, kanak-kanak RM7.50. Dengan RM65, memang berbaloi sangat-sangat. Makan lebih dari 10 biji dan isinya susah nak cerita kalau tak alami sendiri ahaksss... 

Malangnya yang pergi sebuah kereta ni tak satu pun yang hantu durian. Terlantar kat kerusi lepas makan tak sampai 20 biji. Melepek macam 10 hari tak makan. Yours truly lagi la, badan je besar tapi perut kecik. Tapi puas hati dapat makan durian. Dah lama teringin. Macam balas dendam.

Dah sampai di Putrajaya

Gerai-gerai yang menjual buah-buahan tempatan. Beli dan bawa balik atau beli dan makan di sini

Jari-jemari yours truly yang mulus tengah terketar-ketar tak sabar nak masuk mulut. Inilah pertama kali yours truly makan durian tak licin sampai nampak biji durian. Kalau tidak, selagi tak licin, selagi tu tak buang biji.

Terlupa nak beli cempedak ni, boleh?

Banner di depan karnival

Rasa biasa je. Taklah manis sangat


Paling saya suka. Bukan buah. Tak boleh makan. Tak boleh guna untuk masak gulai walaupun nama dia periuk. Periuk kera.

Bawak 3 kamera, rasanya Alya yang ambil gambar lebih banyak dari saya dan papa dia sebab dia kecik. Dia senang menyusup masuk bawah khemah untuk snap gambar. Pakcik-pakcik kat sana pun melayan. "Yang ni taknak ambik?". "Ambik gambar ni pulak". Saya sengaja bagi dia pakai kamera saya yang cikai tu supaya dia belajar. Selama ni dok berebut nak guna kamera, haaa...ambik. 

Sunday, August 8, 2010

Cikgu Nak Ikan Apa?


Kat pasar ni saya dipanggil dengan gelaran "cikgu". Segan pun ada. Sana sini orang panggil cikgu, cikgu. Semuanya bermula bila saya ke gerai seorang kakak untuk beli sayur. Dah lama saya beli dengan dia, nama dia pun saya tak tahu hiksss. Dia jual semua jenis sayur. Senang saya. Tak perlu ke gerai lain lagi. Tuju ke satu tempat, kemudian balik.

Tahun lepas, saya ambil kelas hari sabtu. Lepas balik dari kelas jam 11 pagi , saya terus ke pasar ini untuk beli ikan dan sayur. Setiap kali saya ke gerai kakak sayur - saya panggil dia kakak sayur la ye hehehe - dia mesti cakap kat saya "kamu lambat hari ni", "kenapa lambat benar kamu sampai". Dan jawapan saya tak pernah bertukar, "saya baru balik dari kelas kak". Agaknya saban minggu dengan soalan dan jawapan yang sama, abang dan kakak yang meniaga ikan, udang dan sotong di sebelah mengagak yang saya adalah seseorang yang berlatarbelakangkan pendidikan. Pendeknya, seorang guru atau cikgu. Sudahnya, setiap kali nampak saya, abang ikan - yang ni saya panggil dia abang ikan la ye - akan tanya saya "cikgu, hari ni nak ikan apa cikgu?". 

Selalunya dengan abang ikan ni, saya beli ikan tenggiri dan selar. Jumaat lalu saya pertama kali saya beli udang dengannya.Yang kakak sayur pulak, asal saya sampai ke gerainya, dia mesti cakap "cili kering sekilo?". Tiap-tiap minggu sekilo, nanti saya pulak yang bukak gerai cili kering. Sekilo tu banyak kak. Seplastik besar. Yang bulan lepas beli pun tak habis lagi. Selalunya saya beli pegaga, ulam raja, selom dan taugeh kasar dengan kakak sayur. Kadang-kadang je saya beli sayur campur. Haaa....yang bestnya kakak ni ada jual kangkung kampung sejak bulan lepas. Dulu saya selalu beli taugeh kasar dengan dia. Untuk ulam saya ke gerai lain. Satu hari saya tanya dia, "kak, akak tak jual ulam ke?". Dia jawab, "tak ada. nak ulam, tu gerai depan tu". Lagi satu yang best, minggu depannya, dia bukak satu meja kecil khas untuk sayur kampung sahaja. Sukanya saya!!!

Sebenarnya kan dah beberapa kali mulut saya cuba nak beritahu mereka yang saya bukan cikgu. Tapi kalau saya nak bagitahu nama saya yang perasan unik ni, takut terbelit pulak lidah mereka nak menyebutnya. Kalau nak suruh mereka panggil nama ringkas saya, nampak terlalu moden pulak dengan lidah mereka. Kalau saya nak bagitahu mereka yang saya bekerja di syarikat ini dan itu, takkanlah mereka nak panggil nama saya dengan panggilan nama syarikat saya pulak kan? Lama-lama saya biarkan mereka panggil saya cikgu. Tak tahu nama, tak tahu kerja kat mana. Senang cerita. Yang segannya, orang disekeliling tahu lah yang saya ni "cikgu".  Pada hakikatnya bukan. Entah bilalah saya dapat beritahu mereka.

Cikgu celup.


Friday, August 6, 2010

Deadliest Catch & Blood, Sweat and Takeaways

Ini 2 program yang lebih kurang sama penghujung ceritanya. Mencari rezeki.

Deadliest Catch
Kisah memancing. Memancing cara moden. Bukan pancing ikan tetapi ketam. Ketam opilio. Kisah realiti bagaimana nelayan-nelayan menangkap ketam bila tiba musim ketam opilio di Laut Bering, Alaska. Dengan ombak yang kuat mengganas. Kapal yang digunakan haruslah besar dan kuat juga. Peralatan serba canggih dan moden. Sekali dapat tangkapan bernilai ratus ribu. Bukan sehari dua. Tapi sebulan dua duduk di dalam kapal. Panjang kalau nak diceritakan tentang program ni. Tentang nama-nama kapalnya, kapten kapalnya, anak-anak kapalnya dan macam-macam lagi.

Blood, Sweat and Takeaways
Ini juga adalah rancangan realiti yang mana beberapa orang anak orang senang, 3 lelaki dan 3 perempuan, yang cuba tinggal di kawasan orang susah dan alami bagaimana cara orang susah bekerja. Salah satu babak menunjukkan yang lelakinya menaiki bot bersama-sama dengan orang tempatan pergi memancing ikan tuna untuk mencari rezeki di Pulau Sulawesi. Peralatannya sangat daif dan tradisional. Botnya juga daif. Serba serbi daif. Bukan sehari dua duduk dalam bot tapi berminggu-minggu dengan pendapatan beberapa rupiah sahaja. Tidur dalam bot yang tidak selesa. Berhimpit-himpit. Ada yang tidur, kepalanya di kaki nelayan lain. Ada pula yang kakinya di muka nelayan lain.

Kedua-duanya tentang mencari rezeki. Betapa beruntungnya nelayan-nelayan ketam opilio berbanding nelayan ikan tuna. Walaupun dilanda badai, tapi labanya sangat besar. Walau ada nyawa yang dimamah laut, tetapi kepulangan boleh menjadikan mereka bergelar jutawan. Nelayan ikan tuna masih lagi menggunakan cara lama. Tuna yang ditangkap walaupun kelihatan banyak tetapi pulangan yang nelayan dapat tidak sebanyak tuna yang ditangkap. Kita? Duduk berkerja di dalam pejabat yang dingin hawanya. Itu pun merungut lagi. Bersyukurlah dengan cara kita mencari rezeki. Tugas kita memastikan rezeki yang kita cari benar-benar halal, insyaAllah :-)

Wednesday, August 4, 2010

Manis Nama Dia

Saya selalu nampak nama dia dalam iklan kat TV3 ke TV9, saya tak berapa pasti. Saya terfikir-fikir siapa dia ni? Ana Nur Hidayah Mohd Raffali atau lebih dikenali sebagai Ana Raffali. Kehadirannya menarik perhatian saya berbanding Yuna.

Baru-baru ni saya berpeluang menonton Jangan Tidur Lagi. Rasanya dah nak masuk setahun saya tak tengok Jangan Tidur Lagi. Ana Raffali antara artis jemputannya. Terpegun sekejap saya tengok persembahan dia. Cara dia bercakap. Cara dia jawab ketika ditanya. Cara dia pilih perkataan untuk jadikan ayat. Nampak bersahaja. Jujur pun ye. Macam bersembang dengan kawan-kawan. Ada sesetengah orang seni bercakap lebih banyak cover daripada memberi maklumat yang bermaklumat.

She could be called beauty with the brain. Walaupun kedua-dua Ana Raffali dan Yuna ada brain tapi saya lebih senang dengan kehadiran Ana Raffali. Lagu dia Tolong Ingatkan Aku pun sedap. Saya dedicatekan untuk semua :-)

Tuesday, August 3, 2010

Dah Tak Ada Blog Lagi Nak Baca...Tipu

Saya jarang sangat ada masa nak komen blog kawan-kawan. Blog sendiri pun kadang-kadang berhari-hari tak sempat nak tulis apa-apa. Saya pulak jenis yang kalau terlintas je dalam kepala nak tulis sesuatu, kena terus tulis. Tak boleh cakap "haaaa...nanti aku nak tulis pasal benda ni lah". Kalau "nanti" tu maknanya memang tak tulis lah. Sama ada tak sempat atau lupa. Selalunya lupalah.

Blog kawan-kawan tu kadang-kadang sempat baca je, tak sempat tinggal jejak. Bila masuk balik nak tinggal jejak, entry tu pun dah basi. Ada yang aktif tu, tak sempat nak kejar entrynya. Mungkin dia pun mengejar "tabung" dia supaya cepat penuh.

Sebenarnya kalau saya nak baca dan tinggal jejak sekali, bukannya ambil masa sampai berhari-hari pun. Setengah hari dah cukup. Sampai ke petang dah tak ada blog lagi yang saya nak baca dan komen. Ni blog yang saya follow lah ye. Tak banyak mana pun. Kalau nak kata blog yang ada kat Malaysia ni sebanyak 2 juta, rasanya setengah hari tak cukup. Inikan pulak blog yang ada sedunia. Mahu makan berhari-hari. Tapi saya bukan jenis yang main baca je. Saya cari sesuatu dalam setiap tulisan. Itu yang ambil masa.

Bila saya ada banyak masa dan dah habis baca semua entry kat blog yang saya follow, saya mula jadi bosan tak tahu blog mana lagi yang best yang nak baca. Susah tau nak cari blog yang best yang nak dibaca. Sama jugak macam blog saya. Belum tentu orang suka baca apa saya tulis. Saya pulak jenis yang main tulis je. Dah lama-lama, bila saya baca balik entry yang lama tu saya tergelak sendiri. Tu yang saya tak jadi nak delete blog lama saya tu.

Mana-mana satu keadaan pun, manusia ni memang fitrah dia suka mengomel tak puas hati kan?

Kena cuci sikit hati tu dengan berus dawai el.

Kemusykilan Seorang Rakan

Saya sangat tertarik dengan topik yang Syah tulis diblognya. Saya terpanggil untuk bertanyakan kemusykilan seorang kawan. Link kat bawah ni adalah jawapan Syah yang begitu meyakinkan saya. Lega saya baca. Mudah untuk saya sampaikan pada kawan. Terima kasih banyak-banyak ye Syah. Akak link jawapan Syah kat sini ye.

http://syahbandar87.blogspot.com/2010/07/kenapa-kita-wajib-belajar-agama.html