Wednesday, June 15, 2011

TA Mei 2011 - 1

Setelah saya kembali ke sini, saya menyedari bahawa ada sebuah dunia di sebelah sana yang buat diri saya sangat kerdil. Bagi saya, kita semua tiada apa jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang saban waktu dekat dengan Pencipta.

Salah pilihkah kita?

Mungkin saya yang nampak berbeza hanya kerana mereka bekerja mengulit Al-Quran dan Hadith, tapi saya bekerja mengulit komputer. Ada masa-masanya dalam sehari saya pegang Al-Quran. Sedangkan mereka saban waktu. Saat saya mengulit komputer, mereka mengulit Al-Quran. Saat saya memegang Al-Quran, mereka masih memegang Al-Quran. Apakah amalan mereka lebih dari saya? Kerja seharian kita juga berpahala kan?

Dua hari sudah saya tiba di Malaysia. Malam-malam saya dipenuhi dengan mimpi-mimpi tawaf dan dakian ke Jabal Nur. Sebangunnya saya, airmata mengalir.

Hari saya bertolak, seawal pagi saya mandi sunat musafir dan solat sunat musafir setelah fardhu subuh. Hari itu membuatkan saya berdebar-debar di KLIA. Betul ke aku akan ke sana? Melepasi imigresen, dilambai oleh kaum keluarga di Aras 5, membuatkan saya mengalihkan muka cepat-cepat. Saya tak mahu mereka tahu ada titisan yang bergenang.

Menaiki pesawat MAS, tak seindah yang disangka. Orang berkaki panjang macam saya, manalah muat dengan ruang yang sekangkang kera tu. Tapi itulah awal dugaan. Sabar selama 8 jam untuk sampai ke tanah Madinah. Keadaan yang sebegitu membuat saya cemburu dengan orang lain yang boleh tidur sampai berdengkur(!)

Makanan dalam pesawat? Syukur alhamdulillah walaupun tak kena dengan selera, apa pilihan yang kita ada? Itu pun dah seribu rahmat kalau nak dibandingkan dengan mereka yang tidak makan langsung ketika itu.

8 jam berlalu, tiba di Jeddah dan bas sudah menunggu untuk dibawa ke Terminal Haji. Dari awal, di dalam kursus umrah kami telah diberitahu bahawa Terminal Haji adalah terminal yang sangat azab dan langsung tiada apa-apa makanan. Kami mungkin ditahan berjam-jam di sana mengikut nasib. Pegawai-pegawai imigresen mereka ikut suka hati hendak kerja atau tidak. Kami dinasihatkan supaya membawa makanan dari rumah seperti biskut atau roti. Kami sampai ketika maghrib waktu Saudi. Terkocoh-kocoh untuk solat maghrib tetapi dihalau oleh polis untuk masuk ke dalam kawasan pemeriksaan paspot. Jamak takhir la jawabnya. Alhamdulillah, tak sampai satu jam, kami semua melepasi imigresen Saudi. Kami bernasib baik. Menurut agen kami, Kak Min, pernah satu ketika dia membawa jemaah, mereka ditahan selama 6 jam(!)

Terminal haji. Salah satu tempat permulaan di mana kesabaran anda diuji. Orang yang seramai ini, hanya beberapa kaunter dibuka. Ia menjadi semakin buruk sekiranya pegawai imigresen mereka mengambil masa rehat mereka ikut suka.

Anda dinasihatkan supaya meminta pramugari/pramugara mengisi botol kosong yang dah siap-siap dibawa dari rumah dengan air minuman yang ada dalam kapal terbang dan bawa sedikit makanan dari rumah. Contohnya biskut atau roti. Kat terminal tiada sebarang makanan atau minuman. Bila sampai sini, kena tunggu lagi, perut pun mula berlagu arab. Bersama kita, kalau nak naik kapal terbang, kita tak boleh bawa sebarang cecair melebihi 1000ml kalau tak silap saya. Nak bawa jugak, kena letak dalam beg besar yang kita check-in tu.

bersambung....

No comments: